Salah sertai Besiktas?

Salah sertai Besiktas?

London: Mohamed Salah dilaporkan berpotensi melakukan perpindahan mengejut ke kelab Turki, Besiktas, selepas meninggalkan Liverpool pada penghujung musim lalu.

Ramai sebelum ini menjangkakan legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan berhijrah ke Arab Saudi memandangkan beberapa kelab di negara Teluk itu dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, wartawan Turki, Yagiz Sabuncuoglu mendakwa Besiktas kini sudah mengemukakan tawaran rasmi kepada penyerang Mesir itu.

Menurutnya, Salah turut bersedia mengurangkan tuntutan gajinya bagi merealisasikan perpindahan berkenaan.

“Besiktas sudah mengemukakan tawaran pertama kepada Mohamed Salah. Dalam pertemuan awal, Salah yang pada mulanya meminta gaji tahunan sebanyak €15 juta (RM70.2 juta), bersetuju menurunkan tuntutan gajinya untuk menyertai Besiktas. Peguam pemain itu juga sudah berada di Istanbul,” katanya.

Terdahulu, ejen Salah, Ramy Abbas, memberi bayangan keputusan mengenai masa depan pemain berusia 33 tahun itu bakal diketahui dalam masa terdekat.

“Kami masih belum tahu di mana Mohamed akan bermain musim depan… tetapi kami mungkin akan mengetahuinya tidak lama lagi,” katanya.

Masa depan Salah kembali menjadi perhatian selepas kempen Mesir di Piala Dunia berakhir apabila tewas 2-3 kepada Argentina pada pusingan 16 terbaik.

Salah meninggalkan Liverpool dengan status legenda selepas sembilan tahun menabur bakti di Anfield.

Sepanjang tempoh itu, dia menjaringkan 257 gol dan membantu kelab meraih pelbagai kejuaraan.

Namun, musim terakhirnya di Anfield bukan sesuatu yang mudah apabila beberapa kali dilaporkan berselisih pendapat dengan pengurus ketika itu, Arne Slot, malah secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati pada Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top