PEMAIN sayap Liverpool, Mohamed Salah menegaskan beliau berasa tenang dengan keputusannya meninggalkan kelab itu pada akhir musim dan berbuat demikian mengikut kehendaknya sendiri, lapor PA Media/dpa.
Pemain antarabangsa Mesir itu akan menamatkan tempoh sembilan tahun penuh kejayaan di Anfield musim panas ini selepas mencapai persetujuan dengan kelab untuk memendekkan kontrak lumayan dua tahun yang ditandatanganinya 12 bulan lalu.
Musim ini boleh dikatakan paling mencabar sepanjang tempoh tersebut dan paling ketara apabila berlaku perselisihan terbuka antara beliau dengan Arne Slot pada Disember lalu, apabila beliau menuduh ketua jurulatih itu “mengorbankannya” selepas diletakkan di bangku simpanan ketika prestasi pasukan merosot.
Hubungan itu kembali pulih selepas pemain berusia 33 tahun itu pulang daripada Piala Negara-Negara Afrika, namun persetujuan antara Salah dan kelab untuk berpisah – termasuk pembebasan kontraknya yang dilaporkan bernilai £400,000 seminggu (AS$543,200) tanpa Liverpool menuntut yuran perpindahan – menunjukkan keadaan masih belum benar-benar pulih sepenuhnya.
“Saya rasa melalui musim ini, inilah perkara yang betul untuk dilakukan sekarang, dan saya berasa tenang dengannya,” katanya dalam temu bual bersama bekas kapten Liverpool Steven Gerrard di TNT Sports.
“Musim ini sukar untuk kami semua … saya tidak mahu berkata banyak.
“Saya gembira dengannya, segala yang berlaku musim ini membuatkan saya rasa ‘tidak, sudah tiba masanya untuk pergi’, jadi saya gembira.”
Gerrard mengunjungi Salah di kediamannya ketika spekulasi mengenai masa depannya memuncak susulan luahan terbuka yang jarang dilakukannya itu, dan pemain Mesir berkenaan menghargai nasihat yang diberikan.
Ini bermakna Salah akan menerima penghormatan sewajarnya dalam perlawanan terakhir di laman sendiri menentang Brentford, dan walaupun beliau kini mengalami kecederaan, penyerang itu berkata beliau “mungkin” akan kembali sebelum perlawanan tersebut.
“Saya gembira kerana meninggalkan kelab secara terhormat seperti yang anda sebutkan kepada saya – ‘tinggalkan mengikut kehendak sendiri’ – dan saya masih ingat kata-kata itu,” tambahnya.
“Sejujurnya saya rasa masih banyak yang boleh saya sumbangkan: dari segi fizikal saya rasa sangat baik, saya bermain banyak perlawanan musim ini.
“Saya belum membuat keputusan lagi apa yang akan saya lakukan, sejujurnya saya mempunyai banyak pilihan yang baik.”
Pemergian Salah, bersama seorang lagi tonggak pasukan Andy Robertson, menyaksikan Liverpool kehilangan sejumlah besar pengalaman.
Perbelanjaan perpindahan kelab sebanyak £450 juta (AS$612 juta) memberi isyarat bermulanya era baharu, namun Salah berharap pemain baharu mampu mengekalkan standard dalam bilik persalinan yang pernah mendorong bekas pengurus Jurgen Klopp melabel skuadnya sebagai “mentality monsters”.
“Setiap pemain mempunyai matlamat yang sama, tiada sikap sambil lewa, tiada wira individu, semua orang tahu peranan masing-masing dan jika anda tidak melakukannya dengan betul, pemain lain akan memastikan anda melakukannya dengan betul,” kata Salah mengenai skuad yang memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris dalam dua musim berturut-turut pada kemuncak prestasi mereka.
“Kami mempunyai perkara itu sepanjang 10 tahun lalu, dan saya benar-benar berharap ia tidak berubah kerana sekarang ramai pemain bertukar dan ikatan pasukan turut berubah, jadi saya harap pemain dapat mengekalkannya untuk masa depan.” – Bernama



