Petaling Jaya: Kronologi konflik antara Iran dan Israel merupakan sebuah perkembangan krisis yang panjang serta berperingkat. Bermula daripada perubahan politik dalaman Iran sehinga membawa kepada konflik ketenteraan terbuka pada era kontemporari. Konflik ini bermula dan dapat dikesan pada Revolusi Islam Iran 1979 yang telah menggulingkan pemerintahan Shah dan menggantikan Sistem Monarki kepada Republik Islam. Sebelum peristiwa ini berlaku, Iran mempunyai hubungan tidak rasmi tetapi mereka masih berhubung atau bekerjasama secara tidak langsung dalam aspek ekonomi dan keselamatan. Namun, selepas daripada revolusi tersebut, Iran mengambil pendirian tegas dalam menentang kewujudan negara Israel serta menjadikan isu Palestin sebagai sebahagian daripada dasar luar negara. Peralihan ini menjadi titik tolak yang signifikan kepada permusuhan ideologi yang berlarutan antara kedua-dua negara.
Memasuki dekad 1980-an dan 1990-an
Konflik ini semakin berkembang dan kedua-dua negara tersebut tidak bertempur secara langsung tetapi melalui pendekatan perang proksi. Oleh hal yang demikian, Iran mula menyokong Kumpulan bersenjata seperti Hezbollah di Lubnan yang ditubuhkan sebagai satu tindak balas terhadap kehadiran tentera Israel di negara tersebut. Sokongan Iran adalah dari segi kewangan, latihan ketenteraan serta sokongan logistik yang membolehkan kumpulan Hezbollah menjadi kuasa penting di rantau tersebut. Seterusnya, Iran turut menjalinkan hubungan dengan kumpulan seperti Hamas bagi meningkatkan tekanan terhadap Israel. Dalam pada itu, Israel pula memberi tumpuan kepada strategi pertahanan dengan memperkukuh keupayaan ketenteraan dan risikan untuk mengekang pengaruh Iran di Timur Tengah.
Memasuki awal abad ke-21
Kronologi konflik ini menjdi semakin kompleks dengan kemunculan program nuklear oleh Iran. Sekitar tahun 2000-an, Israel mula menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan nuklear Iran yang dianggap berpotensi menghasilkan senjata nuklear yang berbahaya. Ketegangan ini semakin memuncak apabila Israel didakwa melaksanakan operasi licik seperti serangan siber dan pembunuhan saintis nuklear Iran bagi melambatkan pembangunan senjata nuklear tersebut. Pada masa yang sama, berlakunya konflik di Syria selepas tahun 2011 yang turut menjadi medan baharu persaingan apabila Iran menyokong Syria. Selain itu, Israel juga melancarkan serangan udara ke atas sasaran yang dikaitkan dengan Iran bagi menghalang pemindahan senjata kepada Kumpulan Hezbollah.
Perkembangan utama dalam kronologi ini berlaku pada tahun 2015, apabila termeterainya Joint Comprehensive Plan of Action antara Iran dan kuasa-kuasa besar dunia. Perjanjian tersebut bertujuan untuk mengehadkan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan ekonomi. Namun begitu, keadaan kembali tegang apabila Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian tersebut pada tahun 2018. Hal ini menyebabkan Iran kurang mematuhi syarat perjanjian tersebut, manakala Israel menambah tekanan dengan melakukan serangan ke atas sasaran Iran di Syria serta operasi lain yang tidak diisytiharkan secara terbuka.
Menjelang dekad 2020-an
Konflik ini memasuki fasa yang seterusnya apabila pertentangan langsung semakin kerap berlaku, Pada tahun 2024, ketegangan ini memuncak apabila berlaku serangan yang melibatkan kepentingan Iran di luar negara yang mendorong Iran melancarkan serangan balas secara langsung ke atas Israel menggunakan dron dan peluru berpandu. Peristiwa ini menandakan perubahan yang besar dalam kronologi konflik kerana ia menunjukkan peralihan daripada pertempuran secara proksi kepada perang terbuka antara kedua-dua negara. Seterusnya, Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas sasaran strategik Iran termasuklah markas dan kemudahan ketenteraan.
Memasuki tahun 2025 hingga 2026, kronologi krisis ini semakin meruncing dengan serangan balas yang semakin kerap berlaku antara kedua-dua pihak. Penglibatan sekutu Israel seperti Amerika Syarikat turut menambah dimensi antarabangsa kepada konflik ini, sekali gus meningkatkan risiko ketengangan yang lebih besar. Dalam pada itu, kawasan strategik seperti Selat Hormuz menjadi tumpuan kerana sebarang gangguan di laluan tersebut memberi kesan yang besar kepada masalah bekalan tenaga global.
Impak daripada konflik
Laporan menunjukkan bahawa konflik ini telah memasuki minggu kelapan dengan kesan ketenteraan dan politik yang semakin serius. Penutupan Selat Hormuz oleh Iran telah menjejaskan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dunia, sekali gus meningkatkan tekanan ekonomi global. Dalam masa yang sama, kos peperangan bagi Amerika Syarikat dianggarkan mencecah 25 bilion dolar Amerika dengan peningkatan ketara dalam harga tenaga serta inflasi. Dari sudut kemanusiaan, serangan terhadap hospital dan kemudahan kesihatan turut meningkat menyebabkan kerosakan besar kepada sistem perubatan di kawasan konflik. Selain itu, negara-negara Eropah juga menerima tempias apabila ekonomi mereka terjejas akibat kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran global.
Secara keseluruhannya, kronologi konflik Iran dan Israel memperlihatkan transformasi daripada permusuhan ideologi kepada persaingan geopolitik dan akhirnya kepada pertempuran ketenteraan terbuka. Sekiranya tiada penyelesaian diplomatik yang berkesan, perkembangan ini berpotensi menjadi konflik yang lebih besar malah mungkin bertambah julat peperangan yang menjejaskan kestabilan global pada masa hadapan.
Oleh: Muhammad Azhar Khairunnas Bin Robin
Mahasiswa Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya



