Saling berkorban, bantu golongan terjejas ketika pandemik

Saling berkorban, bantu golongan terjejas ketika pandemik

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ujian dan pelbagai cabaran dihadapi dalam situasi negara masih berjuang mengekang penularan COVID-19 menuntut pengorbanan cukup besar daripada pemimpin dan masyarakat.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, berkata setiap daripada masyarakat berperanan membantu golongan yang terkesan.

“Dalam pada kita berjuang melawan pandemik COVID-19, kita juga berdepan dengan bermacam bentuk cabaran. Pastinya, ramai yang terkesan dari sudut ekonomi, psikologi dan mental, pendidikan, bahkan cuaca politik negara juga ada pasang surutnya.

“Seharusnya kita sedar bahawa manusia adalah makhluk sosial yang tidak mampu hidup sendiri. Manusia adalah makhluk yang memerlukan orang lain dalam banyak perkara.

“Maka, ketika kita ada kelebihan rezeki dan boleh berkorban, alangkah baiknya jika kita tidak menunda-nunda lagi,” katanya ketika menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Cabaran dan Pengorbanan’ di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengimamkan solat sunat Aidiladha. Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri.

Kira-kira 300 jemaah memenuhi ruang solat Masjid Negara bagi menunaikan solat sunat Aidiladha mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ehsan turut sebak ketika mengingatkan pemimpin dan rakyat supaya menghentikan polemik yang tidak berfaedah dalam keadaan negara berdepan ujian besar COVID-19.

“Khatib juga ingin mengambil peluang pada hari yang mulia ini untuk mengingatkan terutamanya pemimpin, juga kepada seluruh rakyat supaya menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

“Hentikanlah percakaran yang sia-sia. Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula yang menjadi mangsa.

“Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenankan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagi mana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan?” katanya.

Beliau berkata, setiap umat Islam juga perlu menyematkan keyakinan bahawa korban yang dilakukan akan diterima Allah SWT dan akan dilipatgandakan pahalanya kerana membantu orang lain yang sedang mengalami kesusahan dan kedukaan.

“Cabaran yang dihadapi juga memerlukan pengorbanan dan ketabahan yang tinggi.

“Berkorbanlah sebahagian harta yang kita miliki bagi membantu ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan sesiapa jua yang sedang dalam kesusahan.

“Korbankanlah keseronokan dan hiburan yang sia-sia dengan menumpukan kepada pembaikan diri kerana hiburan yang sia-sia itu tidak akan membantu kita menghadapi hari perbicaraan di Mahsyar kelak,” katanya.

Tegasnya, dalam situasi sambutan Aidiladha masih terbatas dengan pelbagai sekatan pergerakan, ia tidak bermakna sambutan Aidiladha terutama aspek rohaniahnya ditinggalkan.

“Walau apa jua keadaan dan perkara yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan intipatinya.

“Ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun memiliki hikmah

dan pengajarannya yang banyak jika kita benar-benar menekuninya.

“Ambillah hikmah keteguhan dan keikhlasan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan sesuatu yang paling dicintainya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top