Salur peruntukan bekalkan teknologi kesan dadah kepada agensi keselamatan

Salur peruntukan bekalkan teknologi kesan dadah kepada agensi keselamatan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan khusus kepada Jawatankuasa Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS), dalam usaha mengekang penyeludupan dadah ke negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dengan peruntukan terbabit jawatankuasa yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan dibekalkan peralatan berteknologi terkini untuk mengesan dadah menerusi lapangan terbang.

Katanya, kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada pihak berkuasa untuk membendung aktiviti pengedaran dadah dari luar, termasuk menjadikan negeri itu transit sebelum ia diseludup ke negara jiran.

“Penyeludupan dadah ke Sarawak banyak dilakukan melalui pengangkutan udara berbanding laut dan menyedari keadaan itu kerajaan Sarawak membantu jawatankuasa ini khususnya PDRM untuk mendapatkan alat berteknologi tinggi bagi memantapkan lagi pengesanan dilakukan selain menggunakan anjing.

“Sebelum ini banyak lapangan terbang domestik kita tidak dilengkapi peralatan untuk mengesan dadah, tetapi dengan peruntukan kerajaan Sarawak ini, saya berharap pemantauan akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Khas Narkotik di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, PDRM sudah menerima sebanyak RM1.7 juta daripada kerajaan Sarawak untuk mendapatkan peralatan Instant Visual Drug Detectors (IVDD) dan handheld backscatter.

“Sekarang, Sarawak sudah mempunyai 19 unit peralatan itu yang diperoleh dengan peruntukan kerajaan negeri,” katanya.

Selain penggunaan teknolongi terkini katanya, sebanyak 13 lagi Ibu Pejabat Polis (IPD) di Sarawak kini dilengkapkan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, menjadikan semua 28 IPD seluruh Sarawak memiliki pegawai dan anggota khusus menangani kes dadah.

IPD yang baru menerima pegawai dan anggota JSJN ialah Lundu, Belaga, Marudi, Matu Daro, Maradong, Simunjan Julau, Lubuk Antu, Kanowit, Saratok, Tatau, Dalat dan Song.

“PDRM juga menubuhkan Pejabat Sekretariat Nukleus Narkotik (SSN) Balai Polis Tebedu dalam bahagian Serian bagi memudahkan kita memantau aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan.

“SSN dikendalikan oleh Bahagian Antarabangsa Narkotik Bukit Aman dan kita sedang meneliti untuk menubuhkannya di laluan utama keluar masuk ke Sarawak yang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top