H: Sama-Sama Lokal bantu 9,000 peniaga
Maybank sedia platform dalam talian tingkat perniagaan ketika pandemik
Oleh Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Maybank berjaya membantu kira-kira 9,000 peniaga tempatan untuk mendigitalkan perniagaan menerusi Platform Sama-Sama Lokal (SSL) yang dilancarkan pada April 2020.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata platform SSL bertujuan membantu peniaga kecil tempatan yang terjejas untuk mentransformasikan perniagaan dan mewujudkan kehadiran dalam talian bagi menjangkau 12 juta pelanggan Maybank.
Katanya, ia sekali gus membolehkan peniaga menjana jualan berlipat kali ganda walaupun ketika berada dalam sekatan pergerakan.
“Sewaktu negara kita dilanda COVID-19 pada Mac tahun lalu, Maybank menerima pelbagai maklum balas mengenai cabaran dihadapi peniaga kecil tempatan disebabkan sekatan pergerakan dan cabaran lain yang menjejaskan perniagaan mereka.
“Justeru, pada masa yang singkat iaitu pada April 2020, Maybank membina dan melancarkan platform digital SSL bertujuan menyelesaikan masalah dihadapi peniaga dengan meningkatkan capaian jumlah pelanggan, mewujudkan pendidikan jualan sewaktu menjalankan perniagaan dalam talian dan memperluaskan pengetahuan mengenai pemasaran digital.
“Di samping itu, Maybank bekerjasama dengan beberapa syarikat penghantaran untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada peniaga untuk mengembangkan jualan dan rangkaian perniagaan mereka,” katanya kepada BH.
Hamirullah berkata, 100 peratus hasil titik peluh peniaga terbabit dinikmati sepenuhnya oleh mereka kerana Maybank tidak mengambil sebarang komisen atau mengenakan yuran dan caj tersembunyi ke atas peniaga berkenaan.
Pengusaha Payak Coffee Rich di Semporna, Sabah, Japaran Rashid, berkata SSL sangat membantu peniaga kecil meningkatkan jualan saat COVID-19 melanda dunia.
Katanya, sokongan daripada pegawai Maybank Semporna untuk peniaga kecil sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk terus berniaga.
“SSL memasarkan produk peniaga kecil dalam talian menggunakan applikasi Maybank2U. Ia mesra pengguna dan mudah di akses oleh pengguna dan ini membolehkan kami mudah menjual di SSL,” katanya.
Pengusaha restoran Abang Style, Chieng Hock Ung, pula berkata perbezaan ketara SSL dengan platform lain adalah dari segi komisen kerana ia adalah percuma berbanding dengan perkhidmatan lain.
“Segala hasil jualan juga diberikan 100 peratus kepada usahawan. Malah, Maybank turut memberi insentif diskaun RM10 kepada pelanggan yang membeli daripada saluran SSL,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




