Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia terima tajaan RM4.09 juta

Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia terima tajaan RM4.09 juta

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi menerima sumbangan bernilai RM4.09 juta sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia di Sabah pada 16 September depan (HKHM 2024).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sumbangan itu membabitkan tajaan bernilai RM2.03 dan RM2.06 juta lagi dalam bentuk ‘mobile float’ untuk perarakan HKHM 2024.

Katanya, sumbangan penajaan itu diterima daripada 29 Rakan Strategik Emas dan Rakan Strategik Perak menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik Kementerian Komunikasi yang memberikan sumbangan penajaan tidak kira berapa pun nilainya, kecil atau besar, sedikit atau banyak, pihak kementerian terima dengan amat berbesar hati.

“Sesungguhnya, sumbangan anda amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia dalam menyambut HKHM 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik HKHM 2024 di sini, hari ini.

Fahmi berkata, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

Katanya, sumbangan penajaan bagi barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sambutan HKHM 2024 dijangka lebih meriah dengan pelbagai acara yang dirancang bagi menggamit tatapan hadirin serta meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Selain pengisian yang dirancang, antara penambahbaikan bakal memberi keselesaan kepada pengunjung, ialah dengan menyediakan jumlah kerusi lebih banyak berbanding tahun lalu.

“Jumlah pengunjung tahun lalu kira-kira 100,000 dan kita optimis jumlahnya bertambah tahun ini, kita sediakan tempat duduk lebih banyak dan skrin serta mod pengangkutan seperti teksi air selain boleh buat glamping.

“Insya-Allah sambutan lebih meriah tahun ini, insya-Allah masalah internet di lokasi sambutan tidak jadi masalah, boleh bagi liputan lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd