Sambutan hari lahir berdarah

Sambutan hari lahir berdarah

Bagan Serai: Akibat selisih faham seorang lelaki parah selepas dipukul dengan botol kaca selepas meraikan sambutan hari jadi rakan di sebuah kilang beras di Simpang Lima, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa, M Raguwaran, 29, bersama rakannya Saran, 20-an, ke kilang berkenaan pada 10 malam untuk meraikan hari lahir seorang rakan.

Katanya, antara tujuh hingga 10 lelaki turut serta dalam sambutan berkenaan.

“Sambutan bermula pada jam 3 pagi tadi dan mengakui kesemua mereka dalam keadaan mabuk.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan kumpulan lelaki terbabit.

“Akibatnya, mangsa dipukul di kepala menggunakan botol kaca oleh seorang daripada lelaki, sebelum rakan-rakan kumpulan berkenaan turut sama memukulnya,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala berjaya melarikan diri sebelum dijumpai terbaring oleh orang awam berhampiran kilang berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi mendapatkan rawatan.

“Susulan laporan diterima, pihak polis yang menjalankan siasatan telah menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 33 tahun hari ini bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan dalam proses reman,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Scroll to Top