Sami didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja, miliki bahan lucah

Sami didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja, miliki bahan lucah

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang sami dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki di sebuah kuil, tahun lalu.

Tertuduh, S Shanmugam, 42 turut dikenakan pertuduhan kedua kerana memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal kepada remaja lelaki berusia 16 tahun kira-kira jam 11.30 malam antara 15 dan 17 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Shanmugam didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di sebuah bilik kuil itu kira-kira 11.30 malam pada 15 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam, S Kumeraselvam.

Azman menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi berkaitan kes itu.

Beliau kemudiannya menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top