‘Sampai sekarang dalang tidak berjaya dikesan’ – Jeffery Low

‘Sampai sekarang dalang tidak berjaya dikesan’ – Jeffery Low
‘Sampai sekarang dalang tidak berjaya dikesan’ – Jeffery Low

Sebelum ini, CAS telah mengekalkan keputusan penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

AHLI gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Jeffery Low Han Chau meluahkan kekesalan apabila dalang sebenar di sebalik kes pemalsuan sijil kelahiran membabitkan tujuh pemain ‘warisan’ negara masih bebas dan gagal dikesan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) menegaskan, misteri mengenai individu atau pihak yang mendalangi penipuan dokumen tersebut perlu dirungkai segera.

“Sampai sekarang, tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang melakukan pemalsuan sijil kelahiran untuk tujuh pemain ini. Sampai hari ini tidak boleh dikesan.

“Saya tidak pasti, mungkin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah mengesan sesuatu tetapi mereka perlu mencari pihak yang melakukan perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeffery menyifatkan pemalsuan dokumen tersebut sebagai satu jenayah berat dan sama sekali tidak boleh dipandang remeh kerana ia sudah mengheret arena bola sepak ke kancah kontroversi antarabangsa.

Jelas beliau, implikasi daripada insiden itu amat besar memandangkan negara asal pemain yang terbabit mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung pemalsuan dokumen rakyat mereka.

“Ini adalah satu isu yang serius dan kita tidak boleh katakan ini perkara yang kecil. Negara yang terbabit boleh mengambil tindakan kerana pihak itu memalsukan dokumen kelahiran rakyat mereka.

“Jadi ini adalah satu jenayah yang sangat serius. Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC perlu mencari pihak yang bertanggungjawab,” tegasnya.

Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan keputusan penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

CAS dalam keputusannya mendapati bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan menyifatkan larangan 12 bulan daripada beraksi dalam perlawanan rasmi adalah satu bentuk hukuman yang munasabah.

Bagaimanapun, hukuman penggantungan tersebut hanya tertakluk kepada perlawanan rasmi sahaja dan kesemua pemain berkenaan tidak dihalang daripada menyertai aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan dengan bola sepak.

Ringkasan AI

  • Datuk Jeffery Low Han Chau meluahkan kekesalan kerana dalang kes pemalsuan sijil kelahiran tujuh pemain ‘warisan’ masih tidak dapat dikesan
  • Misteri mengenai individu atau pihak yang mendalangi penipuan dokumen ditekankan perlu diselesaikan segera
  • Pemalsuan dokumen tersebut dianggap sebagai jenayah serius yang mengundang kontroversi antarabangsa
  • Negara asal pemain yang dokumen kelahirannya dipalsukan mempunyai hak mengambil tindakan undang-undang
  • Mahkamah Timbang Tara Sukan mengekalkan keputusan penggantungan selama 12 bulan ke atas tujuh pemain tersebut tetapi mereka tidak dihalang daripada menyertai aktiviti lain berkaitan bola sepak
Scroll to Top