PAS menolak dakwaan kononnya parti itu ketandusan pemimpin sehingga perlu melantik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu di Parlimen, lapor Malaysiakini.
Sebaliknya, Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini terlalu bergantung kepada populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya semakin merosot.
Foto arkib: Utusan
Syahir berkata, kenyataan penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kewibawaan Ahmad Samsuri disifatkan sebagai reaksi “melulu” dan mencerminkan kebimbangan PH terhadap pengaruh pemimpin PAS itu.
“Tak timbul soal PAS ketandusan pemimpin kerana yang tandus pemimpin ialah PH. Itu yang rakyat dapat lihat sekarang ni yang (PH) terlalu bergantung kepada populariti Anwar yang semakin merudum.
“Hakikatnya, PAS bergerak secara kolektif, bekerja secara berkumpulan. Malah terbukti di Terengganu, Dr Samsuri sebagai menteri besar dibantu oleh exco-exco yang sama laju dengan beliau,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pada Isnin.
Foto arkib: Kosmo! Online
Dalam masa sama, Syahir berpandangan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman mungkin tidak akan memegang jawatan Ketua Pembangkang untuk tempoh lama.
“Saya jangka Dr Samsuri pegang jawatan ketua pembangkang ni tak lama, sekejap saja,” ujarnya sambil menyindir bahawa jawatan itu mungkin akan diambil alih oleh Anwar atau pemimpin PH lain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang memberi gambaran PAS kekurangan tokoh berwibawa untuk memikul tanggungjawab besar di peringkat negeri dan nasional.
Foto arkib: Bernama
Menurut Lim, keadaan itu menyebabkan Ahmad Samsuri terpaksa memegang ‘dua topi’ sebagai Menteri Besar Terengganu dan Ketua Pembangkang di Parlimen secara serentak.
Sementara itu, Syahir menegaskan blok pembangkang di Parlimen tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata kerana setiap ahli parlimen memainkan peranan mengikut portfolio masing-masing.
“Maknanya kita ada autoriti untuk buat kenyataan, bangkitkan sebarang isu di dalam dan di luar Dewan Rakyat mengikut portfolio ataupun posisi masing-masing.
“Tidak bergantung kepada seorang individu sebagaimana format yang diamalkan oleh PH ketika Anwar menjadi ketua pembangkang,” katanya.
Foto arkib: Bernama
Beliau turut mendakwa tugas Ketua Pembangkang kini lebih mudah kerana kerajaan pimpinan Anwar sering melakukan kesilapan sehingga menerima kritikan rakyat hampir setiap hari.
“Hampir setiap hari ada sahaja pengumuman, ada sahaja keputusan, ada sahaja tindakan yang dibuat menteri dan juga perdana menteri yang mendapat kritikan rakyat,” dakwa Syahir.
Sumber: Malaysiakini (N Faizal Ghazali)



