mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang Jaya, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong berjaya mara ke pentas akhir Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM, Isnin depan.
Dua pasukan itu menewaskan enam pasukan lain yang berentap di pentas suku dan separuh akhir Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM bersama Harian Metro 2025 yang turut meraih kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) selaku panel hakim.
Jurulatih Pemantun SMK Bukit Jelutong, Norlidah Yasin berkata, dia tidak menyangka mara ke peringkat akhir berikutan persaingan sengit selain menyedari kelemahan pihaknya.
Namun katanya, dia bersyukur pengorbanan dilakukan pelajarnya semasa berlatih membuahkan hasil apabila mereka mara ke peringkat akhir.
“Secara jujurnya saya tidak menjangka kemenangan ini kerana melihat ada ruang untuk penambahbaikan dari pihak kami khususnya dari segi sebutan salah seorang pemantun kami, namun saya amat menghormati keputusan juri yang membuat penghakiman berdasarkan kriteria ditetapkan.
“Kejayaan ini hadiah paling indah dan berbaloi buat pelajar kami yang banyak berkorban masa dan tenaga. Mereka tidak pergi bercuti bersama famili serta sanggup ketepikan cuti sekolah seminggu untuk jalani latihan yang padat dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
“Saya berterima kasih kerana kejayaan ini juga hasil sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapa, pihak pentadbir sekolah, pengetua serta rakan guru kami,” katanya.
Norlidah berkata, biarpun pernah menempa nama di peringkat kebangsaan tahun lalu namun mereka akan membuat perancangan rapi kerana menyedari persaingan sengit menentang pihak lawan di peringkat akhir.
“Cabaran kami ialah kebanyakan pelajar berbahasa Inggeris di rumah. Jadi apabila kita latih mereka, ambil masa untuk membiasakan mereka dengan sebutan betul
“Saya juga selalu ingatkan pelajar, jangan berada dalam zon selesa walaupun pernah ke peringkat kebangsaan kerana kita sendiri pun tidak tahu kelebihan pihak lawan,” katanya.
Terdahulu, lapan pasukan terbaik berentap mempersembahkan pantun secara konvensional di hadapan panel hakim pada suku dan separuh akhir pertandingan terbabit.
Selain SAM Bestari Subang Jaya dan SMK Bukit Jelutong, enam pasukan lain yang berentap ialah SMK Bukit Sentosa 2, SMK Taman Dato’ Harun, SMK Sijangkang Jaya, SMK Saujana Utama, SMK Ampang Pecah dan SMK Agama Kuala Selangor.
Sebelum ini, pertandingan menyaksikan penyertaan awal 95 video pantun dihasilkan 48 sekolah yang dihantar menerusi dalam talian bermula 12 Ogos hingga 5 September lalu.
Setiap pasukan perlu membalas tiga rangkap pantun dijual Harian Metro serta memuat naik tiga rangkap pantun balas dan pautan video pantun interaktif di Google Form penyertaan sebelum peringkat saringan awal dikendalikan JPNS.
Penjurian bagi peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir akan dikendalikan sepenuhnya panel hakim DBP dan seorang wakil JPNS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




