Santan naik harga, peniaga kuih dan makanan semakin tersepit

Santan naik harga, peniaga kuih dan makanan semakin tersepit

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Peniaga kecil terutama penjual kuih-muih dan makanan berasas santan di bandar raya ini semakin terhimpit, susulan kenaikan harga santan hampir 90 peratus disebabkan isu kekurangan bekalan kelapa sejak Oktober lalu.

Peniaga mendakwa kenaikan harga santan itu mendorong harga jualan makanan mereka dinaikkan, namun ia mengundang kemarahan pembeli sehingga jualan terjejas.

Peniaga kuih-muih di Perling, Zarina Abdul Majid, 62, berkata, peniaga kecil kini semakin terhimpit susulan harga santan yang melonjak ke paras tertinggi iaitu RM17 sekilogram sejak Oktober lalu, berbanding hanya RM9 sekilogram sebelum ini.

“Saya tiada pilihan, terpaksa menaikkan harga sebiji kuih antaranya kuih lapis dan talam yang sebelum ini dijual pada harga 40 sen kepada 50 sen, bila berlaku kenaikan harga bahan mentah, selain santan, tahun lalu.

“Harga makanan lain yang berasas santan yang dijual termasuk nasi lemak dan rendang juga terpaksa dinaikkan sedikit kerana menggunakan santan yang banyak.

“Namun, pembeli pula merungut dan menyalahkan peniaga kononnya kami mengambil kesempatan, malah kuih-muih serta makanan yang selalunya habis dijual, tidak lagi laku sejak kebelakangan ini, dan menyebabkan peniaga seperti saya terhimpit.

“Peniaga santan ada beritahu harga santan mungkin naik lagi ke RM20 sekilogram menjelang puasa.. kami makin buntu,” katanya ketika dihubungi.

Dakwanya, kenaikan harga santan itu berkemungkinan disebabkan harga kelapa Indonesia yang digunakan dilaporkan naik harga.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa bekalan kelapa dalam negara berkurangan 60 peratus sejak Ogos lalu, susulan musim melawas (buah tidak menjadi) yang dijangka hanya akan pulih menjelang Mei depan.

Ia menyebabkan harga santan yang sebelum ini dijual pada harga antara RM9 hingga RM10 sekilogram, melonjak antara RM17 hingga ke RM18 sekilogram.

Sementara itu, peniaga kuih di Gelang Patah, Norizan Noi Hamzah, 59, berkata, dia buntu sama ada perlu menaikkan harga kuih atau menghentikan jualan buat sementara.

Katanya, kebanyakan penjual kuih berasas santan terutama kuih talam dan lapis akan menggunakan santan asli bagi memastikan kualiti dan mengekalkan keenakan rasa.

“Jika gunakan santan campur, bukan sahaja rasanya berubah dan tidak sedap, malah pembeli juga akan hilang minat nak beli.

“Namun harga santan kini terlalu tinggi hingga tak balik modal menjual. Jika santan naik harga lagi kepada RM20 sekilogram seperti dilapor, kami yang tersepit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top