Santos pengendali baharu Poland

Santos pengendali baharu Poland

Santos (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pengendali baharu Poland. FOTO: AGENSI

POLAND melantik bekas pengendali Portugal, Fernando Santos sebagai jurulatih baharu pasukan itu berdasarkan pengalaman dan rekod kejayaannya sebelum ini, kata Presiden FA Poland, Cezary Kulesza.

Santos, yang membawa Portugal meraih kejayaan di Euro 2016 dan Liga Negara-Negara 2018-19 dengan Cristiano Ronaldo sebagai kapten, diumumkan secara tidak rasmi apabila Kulesza berkongsi gambar dirinya dengan pengurus berusia 68 tahun itu di Twitter.

“Kami mahukan jurulatih yang berpengalaman mengetuai pasukan kebangsaan, supaya dia tidak perlu belajar mengendalikan skuad Poland.

“Tetapi yang paling penting, kami mahukan jurulatih yang memiliki rekod cemerlang seperti yang dilantik hari ini,” kata Kulesza pada sidang akhbar.

Kontraknya dengan Poland termasuk dua pusingan kelayakan – untuk Euro 2024 dan Piala Dunia 2026.

Santos merupakan pengendali kedua Poland dengan pengalaman antarabangsa selepas Leo Beenhakker sebelum ini yang menguruskan pasukan pada 2006-2009.

Untuk rekod, Santos pernah berkhidmat selama empat tahun di Greece, sebelum menjadi pengurus Portugal pada 2014.

Sementara itu, di peringkat kelab dia pernah menguruskan Porto selain AEK Athens, Panathinaikos, Sporting dan Benfica.

“Saya memberi perhatian besar kepada dua perkataan – ‘kita’ dan ‘menang.

“Kami perlu membiasakan diri dengan kemenangan, kerana saya fikir pasukan kebangsaan ini mempunyai apa yang diperlukan untuk dapat bersaing dengan mana-mana pasukan besar lain,” kata Santos ketika diperkenalkan di stadium kebangsaan di Warsaw.

FA Poland sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak bekas jurulatih Czeslaw Michniewicz selepas dia membimbing pasukan itu ke penampilan pertama peringkat kalah mati Piala Dunia 2022 dalam tempoh 36 tahun di Qatar.

Michniewicz dikritik hebat selepas mengunakan taktikal bertahan semasa berdepan Mexico di Qatar 2022.

Sementara itu, status Santos bersama Portugal ditamatkan pada Disember selepas negara itu tersingkir pada suku akhir Piala Dunia 2022.