Bina Pusat Transit Gelandangan

Bina Pusat Transit Gelandangan

am@hmetro.com.my

Georgetown: “Isu gelandangan sudah menjadi agenda yang sentiasa diambil tindakan Kerajaan Pulau Pinang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh.

Bagaimanapun, lambakan golongan itu yang tidak pernah susut seolah-olah memperlihatkan isu berkenaan sukar dikawal.

Namun, Phee berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam mencari mencari penyelesaian utuh bagi mengatasi isu itu.

Katanya, kaji selidik yang dijalankan mendapati 72 gelandangan di sekitar bandar raya terdiri daripada penduduk di Pulau Pinang, manakala sebahagiannya dari luar negeri ini.

Menurutnya, individu dari luar Pulau Pinang itu dipercayai ke negeri ini bagi mencari pekerjaan, namun kesukaran menyewa rumah menyebabkan mereka tinggal di kawasan yang dirasakan sesuai.

“Lokasi menjadi tumpuan ialah Terminal Bas Komtar, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Pit dan beberapa rumah ibadat sekitar bandar raya.

“Bagi beberapa individu yang bekerja, tetapi terpaksa jadi gelandangan pada waktu malam, kami mengambil inisiatif dengan mencari rumah sewa di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka berkongsi membayar rumah sewa berkenaan.

“Kami tempatkan enam individu di setiap rumah yang disewa selama tempoh tertentu sementara mereka mampu menyewa sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Phee berkata, pihaknya akan terus mengadakan pelbagai operasi berjadual dan bersepadu dengan beberapa pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Untuk penyelesaian jangka panjang katanya, kerajaan negeri membina Pusat Transit Gelandangan yang dijangka boleh diduduki pada April depan dan mampu menempatkan lebih 100 gelandangan.

“Bagi gelandangan yang berusia 60 tahun ke atas, mereka diberi pilihan sama ada boleh tinggal di rumah kebajikan atau pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami dapati jumlah gelandangan ini walaupun sukar diatasi serta-merta, tetapi semakin berkurangan dan jika dilakukan secara berterusan, kami percaya ia boleh ditangani,” katanya.

Pusat Transit Gelandangan, projek pertama yang berkonsepkan Triple Net Zero itu dibina di tapak berkeluasan 1,370 meter persegi di Jalan CY Choy, Georgetown milik MBPP dan dicadangkan sendiri oleh Phee.

Pusat transit terbabit dibina bagi membendung dan menangani isu gelandangan yang dilihat semakin berleluasa di negeri ini.

Sebarang masalah di kediaman anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd