am@hmetro.com.my
Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu.
Beliau secara berseloroh turut bersedia menghantar ‘warkah untuk dinda’ sekiranya anak Perdana Menteri itu berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR.
Katanya, beliau menyokong Nurul Izzah kerana tidak pernah mengkritik secara terbuka terhadap dirinya dalam mana-mana kempen atau ceramah.
“Saya harap Nurul Izzah menang. Dia tak kutuk saya. Tapi yang saya kata nak tulis warkah tu, itu lawak saja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun PAS tidak campur tangan dalam urusan dalaman mana-mana parti termasuk PKR, keputusan pemilihan itu tetap memberi impak terhadap hala tuju pentadbiran negara kerana PKR adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau menegaskan pendirian Pas untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain kekal utuh meskipun ada pemimpin yang mempunyai pandangan peribadi terhadap calon tertentu.
“Pas tidak akan masuk campur dalam pemilihan parti lain. Tetapi, siapa yang menang jawatan itu pasti memberi kesan terhadap kerajaan kerana mereka sebahagian daripadanya,” katanya.
Beliau turut berharap proses pemilihan berjalan lancar dan dapat melahirkan barisan kepimpinan yang mampu memberi kebaikan kepada negara.
“Saya harap orang yang menang adalah yang terbaik untuk negara. Kalau Nurul Izzah lebih baik, maka Nurul Izzah. Kalau Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli) lebih baik, maka Rafizi,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pemilihan itu dianggap sebagai urusan rumah tangga PKR, rakyat tetap mengikuti perkembangannya kerana ia membabitkan kepimpinan negara.
“Itu hal rumah tangga mereka. Kita dengar sajalah kalau bunyi ketuk belanga, bunyi pinggan pecah. Kalau mereka minta tolong, kita tolonglah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menyentuh mengenai namanya yang kerap dijadikan bahan ceramah politik oleh pihak lawan, termasuk calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




