SAR berterusan kesan mangsa lubang benam

SAR berterusan kesan mangsa lubang benam

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sehingga 12 tengah malam ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong wanita warga India yang jatuh dalam lubang benam di Jalan Masjid India, di sini, masih berlangsung.

Pencarian yang memasuki lebih 15 jam sejak insiden berlaku pada 8.25 pagi Jumaat, diatur gerak dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Setakat ini belum ada tanda mangsa ditemui.

Pasukan penyelamat turut memasuki memasuki saluran kumbahan untuk mengesan mangsa, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengerahkan jentera berat seperti jengkaut untuk melancarkan SAR.

Pada 8.20 malam tadi, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sempat meninjau kerja-kerja pencarian dan diberi taklimat mengenai operasi terbabit.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi dilaporkan berkata, dua pasukan penyelam digerakkan memasuki jajaran saluran paip bersaiz 1.5 meter untuk mengesan mangsa yang berkemungkinan dibawa arus.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, usaha pencarian diperluas kerana ada kemungkinan mangsa dihanyutkan arus deras ke longkang bawah tanah di kawasan itu.

Menurutnya, terdapat aliran air yang deras sehingga ke hujung kawasan berkenaan.

Terdahulu, Vijayaletcuhmy, 46, berasal Andhra Pradesh, India, terjatuh dalam lubang tanah jerlus pada 8.25 pagi tadi ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin.

Suami mangsa berusia 40-an memaklumkan, mendengar jeritan isterinya meminta tolong selepas terjatuh, sebelum senyap tidak lama kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top