Saravanan sedia curah ilmu Finland demi bola sepak Malaysia

Saravanan sedia curah ilmu Finland demi bola sepak Malaysia

BEKAS pemain kebangsaan, V Saravanan berhasrat kembali menyumbang kepada bola sepak Malaysia dengan membawa ilmu dan pengalaman dalam pembangunan pemain yang diperoleh sepanjang berkhidmat di Finland.

Kini bertugas sebagai jurulatih bakat (talent coach) KäPa Helsinki, beliau berpengalaman membimbing pemain berbakat berusia 14 hingga 18 tahun, termasuk mereka yang berada dalam kelompok atau program pasukan kebangsaan.

Katanya, pendekatan utama pembangunan pemain di Finland ialah memberi perhatian kepada keperluan individu menerusi Pelan Pembangunan Individu (IDP) yang dirangka berdasarkan kekuatan, kelemahan dan posisi masing-masing.

“Setiap pemain mempunyai fokus latihan berbeza mengikut posisi, merangkumi aspek teknikal, taktikal, fizikal dan mental. Perkembangan mereka turut dipantau menerusi latihan serta prestasi dalam perlawanan.

“Kami juga menggunakan analisis video dan maklum balas individu supaya pemain memahami kekuatan serta perkara yang perlu diperbaiki. Setiap pemain diberikan sasaran jelas dan perkembangan mereka dinilai secara berterusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Saravanan turut terbabit dalam program yang menghimpunkan pemain berbakat daripada pelbagai pasukan dan kawasan menerusi latihan serta aktiviti bersama bagi mempersiapkan mereka menghadapi kejohanan lebih tinggi, termasuk di peringkat antarabangsa.

Beliau percaya pendekatan berkenaan boleh disesuaikan dengan bola sepak Malaysia menerusi sistem pemantauan konsisten, pelan pembangunan individu, latihan berkualiti mengikut keperluan pemain serta maklum balas berterusan.

“Saya sentiasa mempunyai hasrat untuk kembali menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Sepanjang berada di Finland, saya memperoleh banyak ilmu, pengalaman dan pendedahan dalam persekitaran bola sepak Eropah.

“Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk diri sendiri. Jika diberi peluang, saya ingin berkongsi pengalaman tersebut dengan bola sepak Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya kembali ke tanah air sekiranya diberikan peluang oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saravanan berkata beliau tidak pernah memikirkan soal jawatan atau kedudukan tertentu.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang telah saya peroleh sepanjang berada di Finland dan Eropah.

“Saya ingin menyumbang dalam bidang kejurulatihan, pembangunan pemain atau apa sahaja peranan yang membolehkan saya memberikan sesuatu yang positif kepada bola sepak Malaysia.

“Jika ilmu dan pengalaman yang saya ada dapat membantu melahirkan pemain lebih berkualiti dan membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi, itu sudah menjadi satu kepuasan besar.

“Apa pun peranannya nanti, jika diberikan peluang, saya bersedia untuk menyumbang demi Malaysia,” katanya.

Saravanan pernah berkhidmat bersama HJK Helsinki dan IF Gnistan di Finland sebelum kembali ke Malaysia pada 2023 untuk menyertai Perak FC sebagai penolong jurulatih, bergandingan dengan Datuk Lim Teong Kim.

Selepas menamatkan khidmat bersama Perak pada Disember 2024, beliau kembali ke Finland untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pembangunan bakat.

Scroll to Top