sukan@hmetro.com.my
Kuching: Sarawak menyatakan tekad dan komitmen penuh untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 yang akan berlangsung di Selangor bermula 15 hingga 24 Ogos.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dauk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan lalu bukan jaminan mudah, sebaliknya ujian sebenar Sarawak adalah apabila bertanding di gelanggang lawan.
Beliau mengimbas kembali ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa penutupan Sukma Sarawak pada 2024 yang menegaskan bahawa cabaran sebenar buat Sarawak adalah mempertahankan kejuaraan apabila temasya dianjurkan di negeri lain.
“Memang kita menang di kampung sendiri sebagai tuan rumah, tetapi ujian sebenar adalah apabila kita bertandang ke Selangor.
“Di situlah akan ditentukan sama ada Sarawak benar-benar mampu mempertahankan kejuaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Obor Kepada Penganjur Sukma edisi ke-22 Selangor di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini yang dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Menurut Abdul Karim, persaingan dijangka lebih sengit memandangkan Sarawak muncul juara dengan kelebihan pingat emas yang amat tipis sebelum ini, yang dibezakan satu pingat.
“Setiap negeri pasti meletakkan harapan tinggi, lebih-lebih lagi Selangor sebagai tuan rumah dan juga negeri yang mempunyai rekod cemerlang dalam sejarah Sukma,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




