Sarawak teliti projek perlombongan emas di Bau

Sarawak teliti projek perlombongan emas di Bau

am@hmetro.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan untuk melaksanakan projek perintis perlombongan emas di daerah Bau yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar raya ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek perintis di kawasan lombong berkenaan berkeluasan 5.3 hektar itu penting bagi menentukan kebolehlaksanaan projek perlombongan.

Menurutnya, ia juga akan menentukan kawalan dan mitigasi impak projek sebelum perlombongan dijalankan secara komersil.

“Susulan daripada penemuan baharu deposit emas di kawasan Bau, kerajaan Sarawak sedang menilai potensi perlombongan emas berkenaan dengan mempertimbangkan pelaksanaan projek perintis di kawasan itu.

“Dalam usaha memperkasakan industri perlombongan dan pengkuarian, kerajaan Sarawak kini sedang merangka dasar yang lebih komprehensif yang memberi fokus kepada kaedah perlombongan berteknologi tinggi serta mampan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, sektor perlombongan menyediakan kira-kira 1,400 peluang pekerjaan baharu pelbagai tahap dan bidang telah dikenalpasti.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) akan terus menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan sekolah atau universiti untuk mengisi keperluan tenaga kerja berkenaan.

“Selain itu, kerajaan Sarawak juga sedang berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan University of British Columbia (UBC), Kanada bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi perlombongan dan juga melahirkan tenaga kerja profesional dalam industri ini.

“Sistem digital yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Mineral Sarawak (SMIS) dicadangkan untuk dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber mineral dan batuan di Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top