Sarawak teruskan diskaun elektrik 25 peratus, subsidi bil air RM5

Sarawak teruskan diskaun elektrik 25 peratus, subsidi bil air RM5

am@hmetro.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak meneruskan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus sepanjang tahun ini dan subsidi bulanan RM5 bagi bil air untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata langkah bantuan bersasar itu bertujuan melindungi pendapatan boleh guna rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, diskaun bil elektrik yang berkuat kuasa dari Januari hingga Disember 2027 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 716,000 pengguna domestik di seluruh negeri, dengan implikasi kewangan berjumlah RM281 juta.

“Subsidi bulanan RM5 bagi bil air menerusi program air percuma akan memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik, membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM35 juta,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu rakyat menerusi pendekatan yang mengimbangi disiplin fiskal dengan keadilan sosial.

“Inisiatif ini mencerminkan kerajaan yang mentadbir dengan belas kasihan, berpandangan jauh dan bertanggungjawab, mengimbangi disiplin fiskal dengan ekuiti sosial,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial penting bagi memastikan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan keadaan hidup terus mendapat sokongan sewajarnya.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan setiap rakyat mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan dengan bermaruah, penuh harapan dan dalam keadaan selamat.

“Bantuan yang diteruskan itu dijangka membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah bagi keperluan asas, sekali gus memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna domestik di seluruh Sarawak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top