Tabung Pahlawan sasar kutipan RM5 juta bagi 2026/2027 – Khaled

Tabung Pahlawan sasar kutipan RM5 juta bagi 2026/2027 – Khaled

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2026–2027 bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya golongan yang uzur serta memerlukan bantuan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan tabung berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bagi kutipan 2023–2024, kita berjaya mengumpulkan sebanyak RM1.306 juta, manakala tahun selepas itu, sumbangan ini telah berjaya ditingkatkan kepada RM2.19 juta.
“Alhamdulillah, bagi kempen 2025–2026, ia naik ke RM3.351 juta. Insya-Allah, untuk tahun ini, 2026–2027, saya sangat yakin kita akan melebihi dan mencapai sasaran. Sasaran kita ialah RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026–2027 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, dana berkenaan digunakan untuk membantu veteran ATM dan tanggungan yang layak, terutama bagi keperluan yang tidak disediakan kerajaan.

Ujarnya, antara bantuan diperlukan termasuk susu khas, lampin dan peralatan pakai buang untuk veteran terlantar yang uzur, berpendapatan rendah serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Ramai daripada kalangan mereka kini perlu disantuni dan juga dibantu, utamanya bantuan dalam perkara-perkara yang tidak disediakan oleh kerajaan seperti bantuan susu khas, lampin, peralatan pakai buang dan sebagainya.
“Sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang uzur, yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk menguruskan diri,” ujarnya.
Tabung Pahlawan sasar kutipan RM5 juta bagi 2026/2027 – Khaled

Foto: The Star

Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan masyarakat dan sektor korporat dalam kempen berkenaan penting bagi memastikan kebajikan veteran terus terbela, selain mencerminkan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Mohamed Khaled berkata, tanggungjawab menjaga kesejahteraan veteran bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak, termasuk individu, syarikat swasta dan institusi korporat.

“Kita mahu masyarakat sedar bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peranan untuk menyumbang dan menghargai perwira dan prajurit tanah air.
“Kita juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa hanya kerana golongan veteran sudah tidak lagi berada dalam perkhidmatan sebagai anggota yang aktif menjalankan tugas, ini tidak bermakna jasa dan pengorbanan mereka pada negara turut terhenti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ekosistem pertahanan negara bukan sahaja merangkumi kesiagaan aset dan kompetensi anggota tentera yang masih berkhidmat, malah meliputi kesejahteraan warga pertahanan selepas menamatkan perkhidmatan.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled mengalu-alukan lebih banyak pihak tampil menyumbang menerusi kempen berkenaan, sambil memaklumkan bahawa sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta sumbangan peribadi individu layak mendapat pelepasan cukai pendapatan.

“Seperti yang sering diungkapkan, ‘Beri banyak tanda mampu, beri sedikit tanda ingat.’
“Hari ini, saya sekali lagi menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk terus menyumbang dan menyokong usaha ini,” ujar beliau.

Selain sumbangan kewangan, beliau berkata kerjasama strategik dengan sektor swasta turut membuka peluang kepada veteran dan keluarga mereka menikmati manfaat tambahan.

Antaranya termasuk program Derma Ikhlas Veteran ATM (DIVA) bersama Takaful Ikhlas Family Berhad, yang menawarkan perlindungan takaful kepada veteran dan ahli keluarga yang menyertai program berkenaan dengan caruman bulanan serendah RM20.

Selain itu, inisiatif Perwira Sihat bersama MYDIN membolehkan veteran ATM dan waris berdaftar menikmati diskaun 10 peratus bagi 30 hingga 35 kategori barangan terpilih di semua gedung MYDIN di seluruh negara, tertakluk kepada syarat keahlian MYDIN Rewards.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM304 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM menerusi Belanjawan 2027.

Tambahnya lagi, peruntukan itu penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan program kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM dapat diteruskan dengan berkesan.

“Dalam keadaan ekonomi dan cabaran global, walaupun ada peningkatan walaupun sedikit, kita sangat-sangat berterima kasih dan menghargai peruntukan RM304 juta yang diberikan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran.
“Insya-Allah, peruntukan yang terus meningkat secara konsisten ini akan kita gunakan sebaiknya untuk memastikan kesinambungan kebajikan dan kesejahteraan anggota-anggota veteran Angkatan Tentera kita,” tambahnya.

Scroll to Top