Saringan di Pulau Gaya punca kes tinggi di Kota Kinabalu

Saringan di Pulau Gaya punca kes tinggi di Kota Kinabalu

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Saringan bersasar di Kampung Pondo dan Laban, Pulau Gaya, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 30 Jun lalu menyumbang kepada peningkatan kes yang tinggi di Kota Kinabalu, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 30 kes baharu positif COVID-19 dikesan di Kampung Pondo, manakala 62 kes di Kampung Laban, menjadikan 92 kes COVID-19 dikesan di Pulau Gaya.

Katanya, jumlah itu mewakili kira-kira 60 peratus daripada 120 kes baharu yang direkodkan di Kota Kinabalu semalam, menjadikannya daerah paling tinggi kes baharu COVID-19 di Sabah.

“Sebanyak 120 kes positif COVID-19 di Kota Kinabalu berpunca daripada saringan kluster baharu iaitu Kluster Bahtera Barat yang menyumbang lima kes, saringan kontak rapat (18 kes) dan saringan bersasar di Kampung Pondo serta Kampung Laban, Pulau Gaya (92 kes).

“Baki lima kes lagi, iaitu masing-masing empat kes dikesan melalui saringan bergejala dan satu kes lain-lain jenis saringan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, malam tadi.

Katanya, daerah Beaufort pula merekodkan jumlah kes kedua tertinggi semalam, iaitu sebanyak 24 kes, diikuti daerah Putatan sebanyak 19 kes, Tawau (18 kes) dan Kota Belud (12 kes).

Sembilan daerah lagi katanya, mencatat kes satu angka iaitu antara satu kes hingga sembilan kes, manakala baki 13 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Secara keseluruhan Sabah mencatat 228 kes baharu COVID-19 dengan satu kluster baharu dan tiada kematian, manakala seramai 120 pesakit dilaporkan sembuh,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu kluster baharu yang direkodkan di Sabah semalam iaitu Kluster Bahtera Barat adalah berkaitan penularan di tempat kerja yang dilaporkan di pelantar cari gali minyak Sapura, iaitu di Pelantar Erb West.

Katanya, kluster itu tercetus selepas seorang kakitangan lelaki berumur 31 tahun yang tidak bergejala dikesan positif COVID-19 selepas menjalani saringan prosedur ‘sign off’ kapal pada 8 Jun lalu ketika menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Pasukan kawalan yang menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan saringan secara bersasar di lokaliti terbabit mengenal pasti syarikat terbabit mempunyai 162 kakitangan.

“Daripada 301 sampel yang diambil termasuk sampel ulangan, 17 sampel didapati positif termasuk lima kes baharu yang direkodkan pada hari ini (semalam), menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 18 kes, manakala baki 283 sampel lagi negatif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top