suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukan mudah meninggalkan pangkat dan keselesaan untuk kembali menjadi pelatih, namun bagi segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), itulah harga sebuah cita-cita apabila mereka memilih untuk menempuh semula latihan demi bergelar pegawai.
Antara mereka ialah Muhammad Sharizul Amin Zulkifli, 34, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Sarjan Mejar, Polis Kontinjen Johor, kini menamatkan latihan sebagai Inspektor Percubaan selepas sembilan bulan menimba semula ilmu dan disiplin di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
“Saya dulu rekrut di padang yang sama, dan hari ini saya berdiri semula di sini sebagai pegawai jadi ia bukan sekadar pangkat, tapi simbol pengorbanan dan semangat untuk bangkit.
“Keputusan menyambung pengajian selepas lebih sedekad bertugas memberi ruang untuk saya memperbaiki diri serta membuktikan bahawa kejayaan datang kepada yang tidak berhenti mencuba,” katanya ketika ditemui Hariab Metro, di sini, hari ini.
Katanya, keinginan untuk meningkatkan pencapaian diri mendorongnya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum mengambil keputusan memohon jawatan pegawai.
Bagi bapa tiga anak itu, pengorbanan paling besar ialah meninggalkan keluarga di Johor sepanjang latihan, termasuk ketika isterinya melahirkan anak ketiga.
“Dia berpantang sendiri, tapi tetap beri saya semangat. Itu kekuatan saya untuk habiskan latihan ini,” katanya.
Sementara itu, Shree Sharmini Segeran, 33, dari Kulim, Kedah, pula membuktikan bahawa disiplin sukan mampu membentuk ketahanan diri untuk bergelar pegawai polis.
Bekas atlet karate negara itu, sebelum ini bertugas sebagai Konstabel dan kini antara peserta yang berjaya menamatkan latihan sebagai Inspektor Percubaan
“Sebagai bekas atlet, saya dah biasa dengan latihan keras dan disiplin. Setiap kali rasa nak putus asa, saya teringat masa lawan dalam gelanggang saya kena habiskan sampai hujung.
“Tempoh latihan kali ini jauh lebih mencabar kerana perlu menyesuaikan diri sebagai ketua, bukan sekadar pengikut.
“Dulu kita ikut arahan, sekarang kita belajar memimpin. Itu perbezaan besar yang paling menguji,” katanya.
Sharmini juga menzahirkan penghargaan kepada pegawai atasannya yang memberi ruang untuk beliau mewakili negara dalam sukan karate ketika masih berkhidmat sebagai anggota.
“Saya bersyukur kerana mereka faham perjuangan saya. Mereka bagi pelepasan penuh bila saya perlu berlatih atau bertanding, sebab mereka tahu saya bawa nama Malaysia,” katanya.
Bagi Sharmini, kejayaan menamatkan latihan sebagai pegawai bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol semangat juang seorang wanita yang tidak pernah berhenti berusaha, sama ada di gelanggang mahupun dalam khidmat kepada negara.
Pada majlis istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisian (PLAK) Inspektor Percubaan Billangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, 345 pegawai menamatkan PLAK selama sembilan bulan di PULAPOL Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd


![Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO] Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO]](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/spo-o-casemiro28_HMfield_image_socialmedia.var_1777389958.jpg)

