Sasar 1,000 Taman Madani di seluruh negara menjelang 2035

Sasar 1,000 Taman Madani di seluruh negara menjelang 2035

MELAKA: Kerajaan menyasarkan pembangunan sebanyak 1,000 Taman Rekreasi Madani di seluruh negara menjelang 2035 bagi memastikan setiap komuniti mendapat akses kepada ruang hijau berkualiti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sehingga 2025, 217 Taman Rekreasi Madani telah dibangunkan di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran awal 100 taman setahun.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 taman dibangunkan di Melaka manakala tiga lagi Taman Rekreasi Madani baharu akan dibina di Ayer Keroh dan Masjid Tanah tahun ini.

“Pembangunan taman-taman ini bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi dan interaksi sosial kepada komuniti setempat, malah menjadi pemangkin gaya hidup sihat serta lambang keseimbangan antara pembangunan bandar dan kelestarian alam.

“Kerajaan melalui kementerian dan Jabatan Landskap Negara (JLN) turut menyasarkan pembangunan atau menaik taraf 100 Taman Madani pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Kor Ming berkata, pembangunan jaringan ruang hijau awam perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membentuk bandar yang lebih sihat, selesa dan berdaya huni.

Beliau berkata, industri landskap negara mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu apabila disasarkan menyumbang sehingga RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035.

“Pada tahun 2025, Malaysia mencatatkan nilai eksport produk landskap sebanyak RM534.3 juta ke pelbagai destinasi termasuk Singapura, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

“Bagi mencapai sasaran ini, JLN sedang menyediakan Pelan Induk (blueprint) Industri Landskap Malaysia sebagai panduan strategik jangka panjang bagi pembangunan industri landskap negara,” katanya.

Kor Ming berkata, sebanyak 1,200 palet kayu terpakai berjaya ditransformasikan menjadi 361 perabot menerusi Program Kitar Semula Sisa Kayu Bagi Penghasilan Perabot Terbanyak, sekali gus melakar pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sempena HLN 2026.

Ujarnya, program selama tiga hari itu turut mengadakan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Fama yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat. – UTUSAN

Scroll to Top