Sasar tambah jumlah Pusat Satelit ISN

Sasar tambah jumlah Pusat Satelit ISN

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) menyasarkan sekurang-kurang empat Pusat Satelit ISN dapat diwujudkan di beberapa negeri bagi memastikan agenda utama dalam menyampaikan perkhidmatan sains sukan, perubatan dan teknologi yang berkualiti dan menyeluruh kepada atlet di setiap peringkat.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Vellapandian Ponnusamy berkata, mereka akan terus meningkatkan kerjasama dengan pemegang taruh baharu dan setakat ini, sudah ada beberapa pihak menyatakan minat untuk bekerjasama dalam hal membabitkan atlet itu.

“Tahun ini kita sasarkan empat Pusat Satelit ISN tetapi kita akan tapis terlebih dahulu kerana kita ingin memastikan, segala kriteria yang ditetapkan itu menepati syarat yang ditetapkan.

“Selain universiti, kita juga akan melihat dan mencari peluang untuk turut bekerjasama dengan pihak hospital bagi memastikan atlet di negeri berkenaan turut mendapat rawatan sewajarnya,”katanya.

Antara universiti dijangka turut menyertai Pusat Satelit ISN adalah, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lain-lain lagi.

Selain itu, ISN berhasrat untuk menyebarkan perkhidmatan sains sukan ke seluruh negara secara lebih menyelurh melalui rangkaian Pusat Satelit yang strategik. Matlamat utama adalah untuk memastikan akses yang saksama dan berkualiti tinggi terhadap perkhidmatan sains sukan, tidak kira lokasi atlet atau pasukan.

“ISN melihat Pusat Satelit bukan sekadar pengiktirafan semata-mata, tetapi sebagai rakan strategik dalam misi menyokong atlet secara holistik. Kami juga komited untuk memperkukuh kerjasama dengan KPT, memanfaatkan kepakaran institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan sukan,”katanya.

ISN melihat peranan universiti awam yang mempunyai program sains, perubatan dan tekonologi sukan sebagai rakan pelaksana yang ideal untuk memperluaskan pengaruh ini kerana mereka mempunyai tenaga pakar, fasiliti asas dan kedudukan geografi yang strategik.

Sebagai permulaan, tujuh (7) Pusat Satelit sedia ada iaitu Fakulti Sukan dan Sains Eksesais (UM), Fakulti Sains Kesihatan, (UniSZA), Pusat Teknologi dan Inovasi Sukan (SITC,UTM), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (UiTM Shah Alam), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (UiTM Perlis), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (UPSI), serta FakultiPendidikan dan Pengajian Sukan (UMS) akan menjadi model rujukan.

//done//

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top