Sathia Reda Kaki Kiri Dipotong

Sathia Reda Kaki Kiri Dipotong

Pelawak dan pelakon veteran, Sathia reda selepas kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga paras lutut pada Jumaat lalu.

Memetik mStar Online, pelakon berusia 61 tahun itu bagaimanapun tidak rasa sedih sebaliknya positif serta memaklumkan dirinya dalam keadaan baik.

BACA: “Selamat Kaki Aku” – Sathiya Lega Dua Jari Berjaya Diselamatkan, Tak Payah Potong

“Saya gembiri saja macha (panggilan untuk kawan). Kaki kiri saya terpaksa dipotong Jumaat lalu. Saya yakin dengan keputusan dibuat pakar perubatan disini. Mereka lebih tahu apa yang terbaik. Sekarang saya berada dalam keadaan baik. Selera makan pun okay saja,” katanya.

Sementara itu, meskipun ujian tersebut agak berat namun Sathia tetap tenang kerana ada keluarga dan sahabat disisinya.

“Saya dah 42 tahun bergiat dalam industri kreatif. Saya okay saja. Saya ada isteri, anak-anak dan kawan-kawan yang sentiasa ada bersama,” katanya.

Dalam pada itu, anak sulungnya iaitu Amani berkata kaki bapanya terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman akibat saraf darah yang tidak lagi berfungsi.

“Rabu lalu kami datang hanya untukcuci luka saja, tetapi doktor beritahu kaki ayah sudah bengkak dan saraf darah tidak lagi berfungsi di bahagian itu. Selepas lakukan X-ray, doktor maklumkan kaki kiri ayah terpaksa dipotong segera,” katanya.

Tambah Amani lagi, bapanya dilihat positif selepas kaki kiri dipotong dan mahu terus aktif dalam bidang seni.

“Katanya kalau ada tawaran dia akan tetap terima sebab pekerjaannya hanya memerlukan dia menggunakan mulut walaupun serba kekurangan,” katanya.

Sumber: mStar Online


Scroll to Top