Satu pegawai, tiga anggota polis disiasat kes pemerasan

Satu pegawai, tiga anggota polis disiasat kes pemerasan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menjalankan siasatan ke atas kes seorang pegawai dan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang didakwa terbabit dalam kes pemerasan, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, keempat-empat individu itu sudah ditahan sebaik laporan polis diterima pada 28 Ogos lalu sebelum diberikan jaminan polis.

“Kita sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.

“Proses siasatan sedang berjalan dan kita sedang mengumpul bukti. Sekiranya dapat bukti yang diperlukan untuk bantu siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurut Kumar, selain siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, beliau turut mengarahkan siasatan dalaman juga dijalankan dengan segera.

“Kita memberi jaminan bahawa siasatan akan dibuat secara telus dan tindakan tegas dari sudut perundangan akan diambil sekiranya ada bukti.

“Setakat ini, memandangkan siasatan masih berjalan, suspek ditempatkan di unit yang tidak aktif,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pengadu bahawa suspek menyatakan dia terbabit dalam isu penipuan (scammer), Kumar berkata, ia mungkin satu andaian.

“Itu saya ingat andaian sahaja, yang tiada bukti,” katanya.

Difahamkan, seorang peniaga membuat laporan polis pada 28 Ogos lalu mendakwa didatangi dua lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis selepas selesai makan bersama seorang rakan di sebuah restoran di Austin Height kira-kira 5 petang, 27 Ogos lalu.

Pengadu mendakwa, dua pegawai polis itu mengambil telefon bimbitnya dan rakan sebelum meminta mereka masuk ke dalam sebuah kereta lalu dibawa ke IPD Seri Alam.

Pengadu dan rakannya mendakwa mereka diminta masuk ke dalam satu pejabat sebelum dua lagi pegawai polis memberitahu mereka terbabit dalam sindiket ‘scammer’ dan pemerdagangan manusia.

Mereka mendakwa polis itu meminta wang berjumlah RM150,000 jika ingin menyelesaikan kes, sebelum mengurangkannya kepada RM45,000 secara tunai.

Pengadu dan rakannya kemudian mendakwa dibawa ke bank untuk mengambil baki wang sebanyak RM15,000, sebelum dihantar semula ke lokasi pengadu meletakkan kenderaan dan dibebaskan selepas semua RM45,000 diserahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top