sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain melahirkan rasa terharu ‘hadiah’ tiga mata yang dihasilkan pemainnya pada saingan Liga Super selepas skuad Sang Kenari bangkit menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Darul Aman, semalam.
Kemenangan itu juga adalah kebangkitan yang cukup bermakna dan begitu diharapkan beliau dan pasukan selepas Sang Kenari gagal mengutip mata penuh dan terikat dengan keputusan seri sebanyak tiga kali di laman sendiri sebelum ini.
“Untuk kemenangan malam ini (semalam), tiada ungkapan yang dapat saya berikan kepada pemain dengan apa yang mereka berikan sepanjang 90 minit aksi perlawanan.
“Walaupun kami kini berada dalam keadaan amat sukar dan dengan persediaan latihan yang tidak begitu sempurna, namun disebalik itu dengan tiga mata yang mereka berikan ini saya mahu berikan jutaan penghargaan buat mereka.
“Saya cukup terharu dan berbangga kerana untuk balas pengorbanan mereka itu saya rasa tidak mampu. Untuk bercerita hal bola sepak, apa yang mereka lalui dalam pasukan adalah perkara yang cukup susah pada ketika ini dan membuat saya terharu dan juga sedih kerana di sebalik semua itu kita boleh lihat mereka masih hadir sengan semangat juang tinggi,” katanya semalam.
Dalam pada itu Nafuzi juga amat berharap pemainnya dapat terus kekal berlatih dan bersama pasukan bagi menghadapi misi seterusnya dalam keadaan isu tunggakan gaji yang masih belum selesai.
“Pemain masih bersama dengan saya dan masih membantu pasukan. Itu adalah satu kenikmatan buat saya pada ketika ini kerana keadaan kami begitu sukar buat masa ini.
“Untuk aksi selepas ini, saya juga belum tentu lagi samada dapat melihat pemain saya ada dalam pasukan atau sebaliknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




