'Saya buat badan demi kerja, bukan cari duit haram' – Ezaidi Aziz

'Saya buat badan demi kerja, bukan cari duit haram' – Ezaidi Aziz

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon Ezaidi Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduh usahanya membina semula bentuk badan bertujuan mencari sumber pendapatan haram.

Ezaidi, 31, atau nama sebenarnya Mohamed Ezaidi Ab Aziz menjelaskan, keputusannya untuk kembali aktif di gimnasium hanyalah demi memenuhi tuntutan kerjaya seni serta meningkatkan keyakinan diri.

“Saya kembali buat badan seperti dulu kerana komitmen kerja. Hanya untuk nampak sihat dan tambah keyakinan diri sendiri. Itu sahaja tiada niat lain.

“Sebelum ini saya sedang dalam penggambaran dan watak yang diberi pun meminta saya menjadi seakan-akan ‘Prince Mateen’ iaitu segak dan tegap. Jadi saya ambil inisiatif untuk bina badan balik. Itulah tujuan sebenarnya,” katanya.

Tambah Ezaidi, dia tidak mampu menghalang mulut orang ramai daripada terus membuat spekulasi negatif.

Perubahan fizikal dialaminya hanya selepas beberapa bulan menjalani latihan konsisten di gim banyak membantu dirinya yang sebelum ini berdepan masalah kurang keyakinan diri dan pemalu.

Dalam pada itu, pelakon drama Setiaku Berdiri menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai tidak wajar dan menasihati mereka yang berkaitan agar tidak cepat menghukum orang lain tanpa mengetahui cerita sebenar.

Terdahulu, satu hantaran yang dimuat naik oleh Ezaidi di aplikasi Threads memaparkan dirinya sedang gigih membina badan mengundang kecaman netizen.

Ada dikalangan mereka yang tergamak mendakwa tindakan itu bertujuan ‘memancing’ golongan kenamaan (VVIP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top