'Saya bukan malas, bekas banduan memang susah diterima bekerja'

'Saya bukan malas, bekas banduan memang susah diterima bekerja'

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bukan malas, saya cuma bekas banduan, memang susah orang nak terima bekerja,” kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Zawawi, 42, yang hidup sebagai gelandangan sejak empat tahun lalu di ibu kota.

Zawawi berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas terbabit dalam kes pergaduhan sehingga dipenjara lebih tiga tahun.

“Sejurus dibebaskan, saya cuba kembali bekerja, namun rekod lampau sebagai banduan menjadi penghalang. Banyak syarikat tolak.

“Akhirnya saya hanya mampu ambil kerja sambilan dengan bayaran cukup makan dan terpaksa hidup sebagai gelandangan,” katanya.

Menurutnya, pada waktu siang dia menumpang tidur di masjid sekitar Kuala Lumpur manakala malam pula diisi dengan kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di premis berhampiran. “

“Jika diberi pilihan, saya juga ingin tinggal di rumah yang selesa seperti orang lain. Bukan saya suka-suka memilih menjadi gelandangan.

“Hidup di KL (Kuala Lumpur) memang keras. Dengan gaji sekadar cukup makan, saya tak mampu tampung kos menyewa rumah, apatah lagi nak bina kehidupan stabil,” katanya.

Mengulas persepsi bahawa golongan gelandangan pemalas atau enggan berusaha, Zawawi menolak anggapan itu.

“Itu persepsi orang luar. Ada antara kami yang berusaha bekerja, tapi tidak diberi peluang sewajarnya untuk ubah hidup jadi lebih baik,” katanya.

Seorang lagi gelandangan, Rahman, 51, berkata dia berhijrah ke Kuala Lumpur selepas rumah peninggalan keluarganya dijual oleh kakaknya.

“Umpama jatuh ditimpa tangga, di sini saya jadi mangsa majikan yang tak bayar gaji seperti dijanjikan. Itu yang menyebabkan saya hidup sebagai gelandangan.

“Saya juga sukar mendapat pekerjaan kerana tahap pendidikan yang rendah,” katanya.

Menurutnya, selama sembilan tahun hidup di jalanan dia mengakui kehidupannya penuh cabaran.

“Setiap hari saya terpaksa bertukar tempat tidur sama ada di bawah jambatan, kaki lima bangunan dan lorong-lorong sekitar pusat bandar.

“Sepanjang tempoh itu, saya juga berdepan pelbagai masalah termasuk kehilangan kad pengenalan, duit dan barang peribadi. Ada masanya saya menjadi mangsa pergaduhan sesama gelandangan, sehingga beberapa kali mengalami kecederaan,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Kerajaan sedang meneliti semula kerangka perundangan sedia ada yang mengurus isu gelandangan, termasuk Akta Orang Papa sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih tuntas dan efektif terhadap masalah berkenaan yang semakin kompleks di ibu kota.

Kajian semula itu disifatkan penting memandangkan isu gelandangan terus berulang walaupun pelbagai intervensi dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, meskipun operasi menyelamat gelandangan dijalankan secara berkala dan disokong oleh pelbagai agensi teknikal serta kebajikan, masalah ini tetap sukar dibendung kerana latar belakang mereka sangat pelbagai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top