Istanbul: Pengendali Fenerbahce, Jose Mourinho menegaskan beliau bukan seorang yang bersikap perkauman selepas Galatasaray menuduhnya membuat kenyataan berunsur rasis ketika aksi Liga Super Turkiye minggu lalu.
Mourinho, 62, didakwa oleh Galatasaray selepas mendakwa pemain di bangku simpanan tuan rumah ‘melompat seperti monyet’ ketika aksi seri 0-0 itu.
Namun, bekas pengendali Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United itu menafikan tuduhan berkenaan, menegaskan kenyataannya disalah tafsir.
“Mereka (Galatasaray) tidak bijak dalam menyerang saya kerana mereka tidak tahu latar belakang saya,” kata Mourinho kepada Sky Sports.
“Mereka tidak tahu hubungan saya dengan Afrika, dengan rakyat Afrika, pemain Afrika dan badan amal Afrika.
“Jadi, daripada menyerang saya, saya rasa tuduhan itu berbalik kepada mereka semula.”
Fenerbahce dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Mourinho mengambil tindakan undang-undang terhadap Galatasaray, menuntut pampasan sebanyak 1,907,000 lira Turkiye (RM231,500) atas ‘serangan terhadap hak peribadinya’.
“Semua orang tahu siapa saya sebagai individu. Semua orang tahu keburukan saya, tetapi ini bukan salah satu daripadanya. Malah, saya adalah yang sebaliknya!” tambah Mourinho.
Tuduhan terhadap Mourinho turut mendapat pembelaan daripada dua bekas pemainnya di Chelsea, Didier Drogba dan Michael Essien.
“Saya mengenali Jose selama 25 tahun dan dia bukan seorang rasis. Sejarah membuktikannya,” kata Drogba yang juga pernah beraksi untuk Galatasaray.
“Macam mana ‘Ayah’ saya boleh jadi rasis? Janganlah mengarut,” tambahnya.
Sementara itu, Mourinho turut mengkritik mutu pengadilan di Turkiye, dengan menyatakan pertembungan tetangga itu akan menjadi ‘bencana’ sekiranya dikendalikan oleh pengadil tempatan.
Akibat kenyataannya yang mempertikaikan kredibiliti pengadil Turkiye dan mendakwa bola sepak negara itu berada dalam keadaan huru-hara, Mourinho dihukum gantung empat perlawanan dan didenda 1,617,000 lira (RM196,500).
Namun, selepas rayuan dibuat oleh Fenerbahce, hukuman itu dikurangkan kepada dua perlawanan dan denda dikurangkan kepada 558,500 lira (RM67,800).
© New Straits Times Press (M) Bhd




