"Saya cintakan kelab ini sejak hari pertama"- Pep Guardiola

"Saya cintakan kelab ini sejak hari pertama"- Pep Guardiola

Manchester: Pep Guardiola tidak menolak kemungkinan akan meninggalkan Manchester City pada hujung musim ini selepas hampir sembilan musim bersama kelab itu.

Perkara itu timbul selepas wujud spekulasi tentang masa depannya di mana kontraknya bersama City hanya tinggal beberapa bulan sebelum berakhir hujung musim ini.

Malah, isu pelanggaran peraturan kewangan liga yang dihadapi City mungkin sebab mengapa perbincangan dengan Guardiola masih tertangguh.

Begitupun, bekas jurulatih Barcelona itu tetap tenang dan mengakui enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sebaliknya beliau menegaskan amat menyayangi City dan mahu kekal mengemudi kelab itu.

“Saya tidak akan bercakap mengenai perkara itu, apabila ia akan berlaku, ia akan berlaku. Apa yang boleh saya katakan, terima kasih banyak, saya jatuh cinta sejak hari pertama saya tiba di sini,” kata Guardiola.

“Saya adalah sebahagian daripada kelab ini, jauh di dalam jiwa saya dan cara terbaik untuk mempertahankan kelab adalah dengan menang perlawanan dan melakukan kerja saya sebaik mungkin.

“Sudah tentu, saya akan mempertahankan kelab saya, saya percaya kepada mereka…semua orang yang bekerja di sini, selama bertahun-tahun.

“Cara terbaik untuk mempertahankan adalah dengan melakukan kerja kita dengan baik, setiap orang yang bekerja di sini mempunyai tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Penyokong berharap pengurus dari Sepanyol itu kekal sehingga ada yang mengangkat sepanduk di Stadium Etihad memohon agar dia tidak meninggalkan City.

“Mereka perlu membawa bil kepada saya, saya perlu membayar untuk sepanduk itu,” katanya lagi.

Guardiola turut mempertahankan City dalam kes pelanggaran peraturan kewangan liga yang mungkin menyebabkan mereka menghadapi pemotongan mata, denda dan penyingkiran jika didapati bersalah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top