am@hmetro.com.my
Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan akan menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya, esok.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kehadiran beliau ke sana adalah untuk mengetahui sendiri sama ada Titah Adendum yang diperkatakan selama ini wujud atau sebaliknya.
“Siapa nak pi (pergi) silakan, tak mau pi sudah. Saya akan hadir nak tengok adendum itu ada atau tidak. Ada orang kata ada, ada orang kata tak ada, selepas itu kata ada. Kita tengok ada atau tak ada.. sebab itu saya nak pi mahkamah esok.
“Saya rasa esok kes di mahkamah tak ada pun titah Agong yang melarang perhimpunan. Pasai (kenapa) apa depa (mereka) pi konar (pusing) ke situ, siapa yang konar tentulah orang itu ada tujuan tertentu.
“Apa tujuan dia konar? Jadi semua ini akan menjadi persoalan yang berlarutan, sepatutnya telus saja, senang semua orang tahu kerana tiada apa yang perlu ditakutkan, disembunyikan selagi kita benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kempen PKNK Cashless di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menafikan PAS mengambil kesempatan terhadap isu itu.
Sebaliknya beliau berkata, arena politik adalah mengenai peluang yang terhidang seperti menangkap ikan yang sudah di depan mata.
“Kalau ikan lalu kita tak sauk rugilah, cuma nak sauk itu ada alat atau tiada. Jangan sampai kita bom ikan itu, sauk elok-elok. Saya rasa dalam dunia terbuka ini tiada apa yang boleh disembunyikan, proses itu berlaku secara betul atau tak betul.
“Sekarang orang nak tengok proses itu lah, nak berselindung atau tak berselindung. Jadi yang dibawa ke mahkamah esok, orang nak tengok perkara itu siapa yang berkata benar, siapa yang tidak bercakap benar,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu tetap meneruskan himpunan berkenaan kerana ia hanya bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang manipulasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




