Saya hanya ambil tawaran setahun sekali sahaja – Fauziah Latiff

Saya hanya ambil tawaran setahun sekali sahaja – Fauziah Latiff

Jarang kelihatan di kaca televisyen, tetapi masih ada dan tetap menyinar. Itulah ungkapan yang selayaknya ditujukan kepada penyanyi dan pelakon Fauziah Latiff.

Masih menjaga ekslusiviti diri, nyanyiannya yang merdu dan kehebatannya membintangi karya-karya agung juga sering menjadi penantian dalam kalangan peminatnya setianya sehingga kini.

Menurut Fauziah, dia masih lagi aktif melakukan tanggungjawabnya sebagai seorang penghibur dalam industri seni namun, dirinya kini lebih selesa untuk menerima satu tawaran lakonan sahaja dalam setahun.

“Saya masih di sini, cuma sibuk dengan tugas harian. Kadang-kadang buat persembahan ataupun di studio. Masih lagi aktif dalam dunia seni.

“Pada tahun lalu, saya juga ada terlibat dalam penggambaran sebuah drama terbitan Zeel Production. Drama itu juga sudah ditayangkan.

“Saya memang ambil tawaran lakonan, tapi saya tetapkan setahun sekali sahaja,” katanya.

Selain itu, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu tersebut mengakui dirinya mempunyai alasan tersendiri untuk tidak kerap terlibat dalam kegiatan seni.

Katanya, selain komitmen lakonan dan nyanyian, dia juga mempunyai kerjaya lain yang perlu diberikan perhatian dan sedang sibuk menjaga ibunya yang semakin menua.

“Apabila mendapat tawaran untuk sesuatu projek, saya mahu tumpukan perhatian kepada naskhah itu sahaja. Nak kata banyak tawaran yang saya tolak, tidaklah juga.

“Tetapi pada saya lebih baik begitu kerana saya takut jika ambil banyak nanti tidak terbahagi masa dengan kerja saya yang lain.

“Saya juga ada studio yang perlu dijaga dan kini keutamaan saya juga adalah ibu saya,” jelasnya.

Sedia Lakonkan Watak Nenek
Menyedari usianya sudah menginjak 55 tahun, Fauziah mengakui dirinya tidak terlalu memilih watak yang ditawarkan kepadanya kerana mahu mencabar bakat lakonannya yang sedia ada.

Kata penyanyi itu, dia terbuka sekiranya dirinya mula ditawarkan watak wanita berusia seperti seorang nenek yang disifatkan selari dengan umurnya kini.

“Saya tak kisah bawa watak nenek pada usia sekarang kerana memang sudah berusia pun.

“Saya memang tertarik pada setiap watak yang ditawarkan, kalau watak itu mahu saya jadi nenek, saya akan kaji watak nenek itu.

“Kalau watak itu mahu saya jadi jahat, saya akan kaji watak jahat itu kerana yang penting, kita boleh bawa watak itu dengan baik,” katanya.

Tambah Fauziah, dia sentiasa bersedia untuk mengkaji kriteria watak yang ditawarkan kepadanya kerana perkara itu juga sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai seorang pelakon.

“Saya juga suka mengkaji watak-watak yang ditawarkan kerana cabaran untuk menyampaikannya juga berbeza. Bagi sajalah watak apa sekali pun saya akan terima kerana itu juga satu tanggungjawab.

“Itu juga tanggungjawab satu pasukan kerana kita ada pasukan produksi. Pihak produksi lebih penat. Jadi sebagai pelakon, saya tidak boleh merungut dengan watak yang diberikan.

“Memang penat, tapi pengalaman itu seronok. Saya sendiri pun masih malu jika dianggap sebagai pelakon kerana masih belajar lagi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bakal terbabit dalam penggambaran supertele epik terbitan Unit Drama TV RTM (UDTV RTM) berjudul Srikandi arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud.

Naskhah tersebut juga menampilkan pelakon lain seperti Farali Khan, Amalina Arham, Fendy Bakry, Datuk Fauziah Nawi, Catriona Ross, Che Kem, Luqman Hafidz, Hafidzudin Fazil, Khatijah Tan, Mubarak Majid dan Yusran Hashim.

Scroll to Top