am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu polis melakukan siasatan rapi ke atas semua kes yang mendapatkan perhatian umum khususnya membabitkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Menegaskan tidak akan sesekali campur tangan, Perdana Menteri berkata, beliau memahami keresahan rakyat membabitkan kes terbabit.
“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU (orang kurang upaya), kita prihatin.
“… Saya Perdana Menteri tetapi saya juga manusia saya juga nak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak.
“Kalau saya, saya nak polis jawab esok, tapi proses kena lalui. Kita tak peduli siapa tapi saya faham rakyat juga rasa resah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, apa yang boleh beliau lakukan adalah meminta Menteri Dalam Negeri memastikan siasatan rapi disegerakan.
Katanya, beliau pernah memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, supaya menyegerakan siasatan dengan rapi tanpa sebarang campur tangan.
“Jangan (timbulkan) persepsi, hanya fikir mungkin orang ini salah, ikut tafsiran hukum, ini tak boleh.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang menghukum terus, kata kita melindungi, apa yang melindungi?” soalnya.
Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Manakala pemain Harimau Malaya, Faisal Halim, turut membuat kemunculan buat pertama kali di khalayak ramai semalam selepas menjadi mangsa serangan asid pada 5 Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




