am@hmetro.com.my
Bachok: “Daripada empat orang anak, kini saya hanya tinggal seorang,” kata Raja Ruhana Raja Mejan, 53, ibu kepada mangsa pokok kelapa tumbang di kawasan tali air belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, hari ini.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, anak bongsunya, Nik Mohd Haiqal Abdul Rahim, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Raja Ruhana Raja Mejan, 53 berkata, anak sulungnya meninggal dunia ketika masih bayi manakala anak ketiga ketika berusia 5 tahun akibat sakit jantung.
“Kini saya hanya tinggal seorang anak. Saya masih terkejut kerana semuanya berlaku terlalu pantas.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, jenazah anak sudah ditutupi kain. Ketika itu saya tahu dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Bachok, malam ini.
Raja Ruhana berkata, sudah menjadi rutin anaknya keluar bersiar-siar setiap petang dan membawa rakan baiknya yang turut parah dalam kejadian.
Katanya, arwah sempat menduduki kertas percubaan SPM kertas Bahasa Melayu pagi tadi namun tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Azhan Anuar dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bachok, Dr Mohamad Ilmee Mohamad Zin, turut menziarahi keluarga mangsa serta melawat Ahmad Iqbal di Hospital Bachok malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




