Saya komited dengan Newcastle – Howe

Saya komited dengan Newcastle – Howe

London: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe berkata dia “komited” dengan kelab itu selagi dia “gembira dan berasa disokong”, selepas dikaitkan menggantikan Gareth Southgate sebagai pengurus England.

Southgate, yang dilantik pada 2016, meletak jawatan pada Selasa berikutan kekalahan England 1-2 kepada Sepanyol pada final Euro 2024.

Howe menjadi calon utama untuk jawatan itu, walaupun ketua eksekutif Newcastle Darren Eales berkata kelab berazam untuk mengekalkannya.

“Ia adalah kelab bola sepak yang luar bisa. Saya sangat bangga menjadi pengurus.

“Saya sayang penyokong, pemain dan kakitangan saya. Jadi sebenarnya, tidak ada dalam fikiran saya tentang perkara lain dan saya sangat komited dengan tugas di sini.

“Bagi saya, selagi saya gembira dan berasa disokong dan bebas melakukan kerja yang saya suka lakukan di Newcastle, saya akan sangat gembira – dan saya sangat gembira,” kata Howe.

Howe dilantik sebagai pengurus Newcastle pada November 2021 sejurus selepas pengambilalihan kelab yang disokong Arab Saudi itu dan membawa pasukan itu jauh daripada penyingkiran musim itu.

Beliau kemudian membimbing Newcastle mendaki tempat keempat Liga Perdana pada kempen 2022-23 untuk membawa Magpies layak ke Liga Juara-Juara.

Howe menandatangani apa yang disifatkan Eales sebagai lanjutan kontrak “untuk beberapa tahun” musim panas lalu sebelum Newcastle United menduduki tempat ketujuh dalam Liga Perdana.

Perlawanan pertama mereka pada musim 2024-25 adalah di tempat sendiri menentang Southampton pada 17 Ogos.

Ditanya sama ada dia menjangkakan untuk memulakan musim sebagai pengurus Newcastle di tengah-tengah hubungan dengan England, Howe berkata: “Sudah tentu itu adalah jangkaan saya kerana saya pengurus Newcastle dan saya sangat berbangga untuk menjadi pengurus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top