‘Saya mahu fokus bina rumah tangga dahulu’ – Syed Saddiq

‘Saya mahu fokus bina rumah tangga dahulu’ – Syed Saddiq

MUAR – Selepas menamatkan Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman mahu memberi tumpuan kepada fasa baharu dalam kehidupannya iaitu membina rumah tangga.

Syed Saddiq berkata, keputusan itu dibuat selepas lebih 10 tahun memberikan fokus kepada perjuangan politik tanpa henti sejak 2014.

“Sejujurnya sekarang saya nak berikan fokus untuk mulakan rumah tangga saya dahulu. Ini bukan jawapan selamat, ini jawapan yang jujur dan ikhlas, memang daripada hati ke hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Sorakan ‘Hidup Muar’ sambut ketibaan Syed Saddiq

 Larian Kesyukuran Syed Saddiq kutip lebih RM54,000 pada hari pertama

Baru dua hari, Larian Kesyukuran Syed Saddiq sudah kutip lebih RM361,000

Larian Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar, Syed Saddiq sasar kutip RM200,000

“Sejak saya mula berpolitik pada 2014 atau 2015, saya tidak berhenti-henti. Dalam tempoh itu bukan saya seorang yang lalui, satu keluarga lalui perkara yang sama juga,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Muar di sini, pada Ahad.

Pada 28 Mac lalu Syed Saddiq bertunang dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, dirinya tidak akan mengabaikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Muar dan akan terus menjalankan amanah yang diberikan rakyat.

“Tanggungjawab di Parlimen dan tanggungjawab sebagai ahli biasa MUDA tetap akan saya laksanakan selagi Parlimen tidak dibubarkan.

“MUDA hari ini dipimpin oleh Amira Aisya And Aziz yang telah dipilih. Ini bukan soal parti milik saya sahaja kerana ada proses pemilihan yang perlu dilalui,” katanya.

Syed Saddiq menambah, sokongan rakyat menjadi bukti perjuangan politik tidak semestinya bergantung kepada individu yang mempunyai kekayaan besar.

“Selalu orang kata sebagai ahli politik kita hanya perlu bergantung kepada mereka yang ada berjuta-juta dan berbilion ringgit. Tetapi saya tetap katakan hari ini, jumlah RM600,000 yang dikutip ini disumbangkan oleh lebih 10,000 rakyat Malaysia.

“Di tepi jalan ada yang menyumbang 50 sen, RM1 dan ada yang memberi mengikut kemampuan masing-masing.

“Nilai mungkin kecil pada pandangan sesetengah orang, tetapi makna di sebaliknya sangat besar kerana ia datang daripada rakyat biasa yang mahu bersama-sama dalam perjuangan ini,” katanya.

 

Scroll to Top