'Saya masih teringat-teringat kejadian pada hari itu' – Pemandu Perodua Alza

'Saya masih teringat-teringat kejadian pada hari itu' – Pemandu Perodua Alza

am@hmetro.com.my

Baling: “Saya masih teringat-teringat kejadian yang berlaku pada hari itu, tetapi saya tak mampu komen banyak,” kata Mohd Lutfi Radzi, 37.

Mohd Lutfi adalah pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam kemalangan selepas kereta dinaiki dia sekeluarga terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin lalu.

Ketika kejadian, Mohd Lutfi bersama isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, serta dua anak mereka, Nur Aisyah Nafishah, 6, dan bongsunya, Muhammad Ahsan Nafis, 2, dalam perjalanan pulang selepas menyambut Aidiladha di rumah mentuanya di Terengganu ke rumah mereka di Parit Panjang, di sini.

Mohd Lutfi setakat ini masih belum bersedia untuk menceritakan sepenuhnya kejadian yang berlaku itu.

Katanya, dia terkejut kerana kemalangan itu berlaku agak kuat dan lepas itu dia tidak tahu apa yang berlaku.

“Seorang dari anak tercampak keluar dari kereta…namun saya bersyukur kerana kami semua selamat.

“Yang saya ingat, sebelum kejadian, saya bersembang dengan isteri sebelum kemalangan berlaku,” katanya di Hospital Baling, di sini, hari ini.

Menurutnya, hari ini hari ketiga dia, isteri serta dua anak berada di hospital itu malah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang mengunjungi dan turut memberi sokongan kepadanya.

Sementara itu, keadaan isteri serta dua anaknya semakin baik dan stabil, namun masih dirawat di Hospital Baling.

Mohd Lutfi adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling manakala isterinya pula guru di SK Tembak, dekat sini.

Sementara itu, Pakar Ortopedik Hospital Baling, Dr Asri Zuzairudin Mohd Ali berkata, anak sulung pasangan suami isteri itu, Nur Aisyah Nafishah yang mengalami patah paha di bahagian kanan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat ini.

Nurul Ain Zakaria, 36, isteri kepada Mohd Lutfi pula yang patah tulang rusuk kini semakin beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi di hospital.

“Keadaan Mohd Lutfi serta anak bongsunya pula semakin stabil.

“Kesemua mereka masih dirawat di sini (Hospital Baling),” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, wakil Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sekolah, Wan Norazman Zainol berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan pasangan guru terbabit dan akan memastikan segala keperluan mereka mencukupi sepanjang menerima rawatan di hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top