'Saya rasa mak cik yang cium pipi Bella itu comel' – Space Dollah

'Saya rasa mak cik yang cium pipi Bella itu comel' – Space Dollah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya rasa mak cik yang cium pipi Bella itu comel. Dia patut dapat anugerah sebab comel gila!.” Demikian hantaran pempengaruh media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau dikenali Space Dollah yang juga abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, hari ini.

Hantaran itu dipercayai merujuk video tular yang menunjukkan seorang wanita menarik kemudian mencium pipi adik iparnya, Bella Astillah ketika majlis Kenduri Rakyat di Muar, Johor, semalam.

Perkongsian hantaran itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sebahagiannya tidak bersetuju dengan tindakan wanita berkenaan mencium pipi Bella Astillah kerana menganggapnya keterlaluan dan tidak sepatutnya walaupun meminati pelakon dan penyanyi berkenaan. “Jangan normalisasikannya. Biar ada adab dan batas. Kasihan Bella,” tulis seorang warganet, Nurazreena. “Saya tak rasa benda seperti itu comel. Ia boleh menjadi sesuatu yang mencederakan, mungkin juga menjadi ancaman tanpa diduga.

“Jangan normalisasikan seperti ini, nanti menjadi kebiasaan.

“Eloklah berjaga-jaga sebelum ia menjadi ikutan tanpa batas. Jagalah sempadan,” tulis seorang lagi warganet dikenali Kim Ana 1109.

Terdahulu, tular di laman sosial video kemeriahan majlis Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, 34, dan Bella Astillah atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32.

Kehadiran luar biasa orang ramai untuk melihat lebih dekat majlis persandingan pasangan itu menyebabkan Yong Sheng Banquet Hall, di Jalan Bakri, Muar dan kawasan perkarangan luar dewan berkenaan sesak. Antara yang mencuri perhatian adalah gelagat tetamu yang mengerumuni Syed Saddiq dan Bella Astillah ketika berjalan di luar dewan untuk berjumpa, bersalaman dan bergambar lebih dekat dengan pasangan kesayangan mendapat jolokan BASS itu. Menurut rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di Aras 118, Menara Merdeka 118, di sini, pada 10 Oktober lalu.

Pasangan itu disatukan dengan sekali lafaz oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kira-kira jam 10.40 pagi, dengan Bella Astillah menerima mas kahwin RM500.

Mereka diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada 18 Oktober lalu, yang menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu.

Selepas Muar, sambutan perkahwinan mereka akan diteruskan menerusi satu lagi Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini, iaitu negeri kelahiran Bella Astillah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top