hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sangat menghargai bantuan anggota polis yang sudi membantu menunjukkan jalan ke Pangkalan Udara (PU) Subang, Shah Alam supaya saya dan dua anak dapat bertemu suami sebelum dia berlepas ke Lubnan,” kata Maryenna Muhamad Isa.
Berkongsi kisahnya, Maryenna, 40, berkata, dia memandu sendiri dari rumah di Cheras, di sini, ke PU Subang bersama ibu, kakak dan dua anak untuk menghantar suaminya Koperal Mohd Azam Hasly Ramli yang juga anggota kumpulan ketiga kontinjen Malaysia Battalion (Malbatt) 850-12 berlepas bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).
Bagaimanapun, katanya, dia tersesat walaupun sudah menggunakan aplikasi navigasi.
“Saya sesat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan mencari jalan hampir dua jam… Walaupun sudah menggunakan aplikasi navigasi tetapi saya agak kurang mahir dan beberapa kali salah lorong.
“Kebetulan pula ketika itu masih pagi dan jalan sesak… saya sudah tiga hingga empat kali melalui tol sama namun masih tidak menemui lokasi.
“Ketika itu saya memang sedih dan ‘down’ sebab terfikir kalau tidak dapat jumpa suami mesti saya menangis tak sudah nanti dan masih berusaha untuk pergi ke sana.
“Saya cakap dengan kakak kalau ada kereta polis memang saya pergi jumpa mereka untuk minta tolong.
“Tiba-tiba saya ternampak kereta polis dan kebetulan lampu isyarat baru saja merah jadi saya nekad keluar dan berlari ke kereta polis untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.
Terdahulu, Maryenna berkongsi di TikTok memaparkan dirinya berlari meminta bantuan kepada anggota polis untuk menunjukkan arah selepas tersesat hampir dua jam mencari PU Subang untuk menghantar suaminya.
Video wanita itu meraih lebih tiga juta tontonan dan mendapat perhatian netizen yang turut memuji anggota polis berkenaan yang membantu menunjukkan lokasi kepada Maryenna sekali gus memberi peluang kepadanya bertemu suami pada 14 November lalu.
Katanya, tiga anggota polis yang berada dalam kenderaan itu sudi membantunya, dan ditunjukkan jalan sehingga tiba di PU Subang dengan selamat.
“Alhamdulillah, dengan bantuan anggota polis berkenaan saya tiba di lokasi dan bertemu suami sebelum dia berlepas ke Lubnan.
“Tetapi saya tak sempat bertanya anggota berkenaan daripada mana namun saya terharu dengan bantuan mereka,” kata penjawat awam itu.
Menurut Maryenna, dia menghargai bantuan pihak polis dan video dikongsikan itu sebagai kenangan perjalanannya bertemu suami, selain berkongsi penghargaan kepada pasukan polis yang sentiasa bersedia membantu orang awam dalam kesusahan.
“Saya tidak sempat tanya anggota polis berkenaan daripada balai mana tetapi kalau tak silap saya salah seorang daripada mereka bernama Johari.
“Kakak saya juga keluar berjumpa mereka untuk mengucapkan terima kasih kerana sudah membantu kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




