'Saya setuju kalau Anwar juga dedahkan dari mana datang kekayaannya' – Ahmad Faizal

'Saya setuju kalau Anwar juga dedahkan dari mana datang kekayaannya' – Ahmad Faizal

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu senada dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar kembali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mendedahkan kekayaan dimiliki ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Anwar seharusnya tidak sewenang-wenangnya menuding jari kepada satu pihak (Dr Mahathir) namun diri sendiri tidak berani menunjukkan bagaimana beliau juga mampu hidup mewah termasuk menggunakan perbelanjaan besar ketika berpolitik.

“Jadi saya amat bersetuju bahawa jangan kita sentiasa menuding jari kepada satu pihak tetapi diri sendiri tak berani nak menunjukkan bagaimana diri sendiri mampu hidup berpolitik dengan begitu mewah.

“Sepanjang berapa lama (Anwar) berada di luar kerajaan dan hari ini pula dikatakan tak ambil gaji dan sebagainya, tetapi masih kekal dengan ‘kehidupan yang indah’. Jadi saya fikir memang patutlah rakyat juga nak tahu dari mana datang duit.

“Siapa taja naik helikopter, siapa taja pasang papan ‘billboard’ (papan iklan) gergasi dan sebagainya, semua orang nak tahu. Tapi kalau tak nak bagi tahu, tak payahlah nak tuding jari pada orang lain pula,” katanya sewaktu ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai cabaran semula Dr Mahathir sehari selepas Anwar mengulangi gesaan dan mencabar bekas Perdana Menteri itu mendedahkan segala aset dimilikinya dan anggota keluarga. Terdahulu, Dr Mahathir dilapor menyifatkan cabaran Anwar terhadapnya serta pemimpin terdahulu sebagai ‘menghairankan’ berikutan Perdana Menteri sudah tentu memiliki bukti mengenai kekayaan beliau dan anggota keluarganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top