‘Saya mohon pada Allah pulangkan anak dalam keadaan sempurna’
Ibu kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemukan maut di Sungai Klang, meluahkan rasa syukur apabila jenazah anaknya ditemukan dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kecederaan.
Mohon pada Allah pulangkan anak dalam keadaan sempurna
Ibunya, Irni Yusmira Istihat, 54, berkata, meskipun berasa sedih dengan kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik itu, namun beliau menerima segala ketentuan-Nya.
Jelas Irni Yusmira, beliau bersyukur kerana doanya diperkenan ALLAH SWT dan dapat melihat sendiri anaknya itu semasa di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam.
“Ketika saya dan anak bongsu jumpa telefon serta dompet di jambatan, saya sudah dapat rasakan mungkin dia berada di bawah (Jambatan Klang).
“Jadi balik pada malam itu (Selasa), saya solat dan mohon pada Allah “pulangkanlah anak aku dalam keadaan yang sempurna seperti dia dilahirkan dengan sempurna.
“Saya reda dan hati saya benar-benar tenang apabila lihat dia dalam bilik forensik dengan keadaan tiada satu pun yang patah, Allah bagi saya kesempurnaan.
“Kalau ada yang berniat jahat dengan anak saya, pasti dapat balasan. Allah itu ada, Allah itu satu,”katanya.
Irni berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam, pada Khamis.
Serah semua pada polis
Disoal sama ada soal pihak keluarga ingin meneruskan siasatan berhubung kematian arwah, Irni menjawab dia menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Saya tidak mahu fikir yang itu, perkara itu bukan tugas saya. Saya serahkan kepada pihak polis,”katanya lagi.
@hibglam.com.my Ibu kepada Allahyarham Nidza Afham, Irni Yusnita reda dan tenang apabila melihat jasad anaknya sempurna tanpa ada kecederaan. #nidzaafham #meninggadunia #jenazah #meninggaldunia #hilang #sungaiklang #penyanyi #aufahanie 📹HELMI ANUAR
Umi cakap kau anak syurga tau, Am…
Sementara itu, adik kepada arwah Nidza Afham iaitu Aufahanie yang juga seorang penyanyi memberitahu ibunya menyifatkan abangnya anak syurga.
Artikel lain: Nidza Afham diklasifikasi mati mengejut, tiada unsur jenayah & kecederaan fizikal
Jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam, pada jam 6.35 petang Khamis.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau berkata, bedah siasat telah dijalankan bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 3 petang di Hospital Shah Alam pada Khamis.
Penyanyi itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam pada Selasa. Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan oleh pemancing berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, lebih kurang 1 kilometer daripada jambatan yang ditemui telefon bimbit dan dompet pada jam 7 malam Rabu.
Sumber: TikTok hibglam, X aufaamokhtar