Penyanyi dangdut Amelina sebak apabila memikirkan tanggapan segelintir pihak mengatakan industri hiburan adalah haram seperti didakwa pempengaruh sensasi Tareq Fit.
Memetik HibGlam, Amelina berkata meskipun pendapat berkenaan ada benarnya namun niatnya hanya untuk mencari rezeki dalam industri hiburan demi kelangsungan hidup.
BACA: Buat Rawatan Tanam Benang, Amelina Nafi Ubah Wajah
“Bukan kita nak betulkan benda yang salah. Fasal aurat semua itu, memang kita tahu. Yang penting niat atau nawaitu kita. Contohnya, kalau dapat rezeki ini, kita nak buat untuk apa. Saya secara peribadi, tiadalah sampai terkeluar landasan niat saya.
“Orang pergi pejabat, mereka pakai baju yang sesuai. Untuk saya sebagai penyanyi, kenalah pakai baju yang sesuai untuk menyanyi. Tiada pula sampai pergi kerja berbikini atau berkemban,” katanya.
Bagaimanapun, Amelina berkata dia percaya bahawa bakat adalah kurniaan Tuhan dan apabila seseorang itu mempertikaikan seolah mempersoal kerja Tuhan.
“Bila kita mempertikaikan bakat atau rezeki orang, maknanya engkau mempertikaikan kelebihan Allah SWT, semua yang datang daripada Dia (Allah).
“Macam saya, 15 tahun menghilang kemudian dilorongkan semula dalam industri—menyanyi lagu-lagu lama yang popular. Rezeki ini yang membolehkan saya membesarkan anak-anak dan bekerja demi mereka.
“Individu terbabit boleh menilai, tak salah tapi rezeki ini datang daripada Allah. Kalau kau pertikai, maknanya kau persoal kerja Tuhan,” katanya.
Sumber: HibGlam




