Saya tak berhutang apa-apa dengan anda semua – Sean Lee jawab dakwaan bakal kahwin

Saya tak berhutang apa-apa dengan anda semua – Sean Lee jawab dakwaan bakal kahwin

KUALA LUMPUR: Menafikan dakwaan baKal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, pelakon dan pengacara, Sean Lee bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi perihal peribadi kepada umum.

Jelasnya, dia tidak mahu kehidupan peribadinya dijadikan bahan ejekan dan membiarkan sahaja segelintir warganet berteka teki soal teman wanita kerana lebih senang berahsia.

“Saya tidak pasti sekiranya akan berkahwin, saya akan umumkan. Bergantung kepada mood ketika itu. Lagipun saya tak pernah hutang kamu semua apa-apa dalam hidup.

“Jujurnya, saya rasa mahu rahsiakan kehidupan peribadi hanya untuk diri sendiri. Baik orang jangan masuk campur mengenai kehidupan peribadi saya.

“Orang tidak kisah pun, mereka hanya mahu bercakap. Saya tidak mahu kehidupan peribadi saya dipermainkan di luar sana,” jujarnya.

Sean ditemui ketika sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023, semalam.

Dalam pada itu, Sean berkata, dia sememangnya menyimpan hasrat untuk berkahwin di usia muda namun dengan tugas dan komitmennya, dia sendiri belum pasti perkara itu akan terjadi dalam hidupnya.

“Perkara ini bukan dalam kawalan saya dan serahkan kepada Dia (Tuhan). Biarkan Dia putuskan apa yang terjadi dalam kehidupan saya.

“Ada perancangan nak kahwin sebab memang dari awal saya merancang untuk nikah muda. Kalau ada rezeki, semuanya berjalan lancar saya akan berkahwin.

“Tidak pasti sama ada tahun ini ataupun tidak. Banyak benda yang terjadi dalam hidup saya,” kongsinya.

Sean dalam pada masa sama turut menafikan gerangan wanita yang dikatakan berkongsi momen persiapan perkahwinan dengannya.

“Saya tidak kenal wanita yang diberitahu. Mungkin pada mata semua saya tidak berpunya,” ujarnya.-UTUSAN