nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Aktivis masyarakat dikenali sebagai Abbe Hae menegaskan beliau tidak pernah menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tangkapan membabitkan dirinya serta ahli kumpulannya pada Sabtu lalu.
Abbe Hae yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan sebaliknya akur dengan tangkapan berkenaan memandangkan ada pihak yang membuat laporan terhadap mereka.
Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan kepada Polis Kelantan untuk menjalankan siasatan terhadapnya.
“Walaupun saya ditahan dan bermalam di lokap, namun saya tidak pernah menyalahkan pihak polis kerana kita perlu mengikut prosedur undang-undang.
“Disebabkan ada individu yang membuat laporan terhadap saya dan ahli kumpulan saya, pihak polis terpaksa menjalankan siasatan secara terperinci.
“Saya juga terbuka untuk siasatan kerana saya seorang yang menghormati undang-undang dan pada masa sama saya meminta masyarakat tidak menyalahkan pihak berkuasa berhubung isu ini,” katanya menerusi audio siar Merah Podcast, malam tadi.
Pada masa sama katanya, walaupun ramai yang mendakwa beliau mengenali Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, namun beliau sesekali tidak akan meminta bantuan sebaliknya menunggu siasatan selesai dijalankan.
“Sebelum saya ditangkap pada Sabtu, saya menghadiri Majlis Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri KDN, namun tidak menunggu majlis sehingga tamat memandangkan perlu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum ditahan.
“Saya kini menunggu siasatan yang dijalankan pihak polis. Saya yakin siasatan dijalankan dengan telus,” katanya.
Tegasnya, setiap kali dia dan ahlinya turun ke lapangan, dia tidak pernah membuat sebarang provokasi atau melakukan sebarang sentuhan serta memegang sebarang dokumen milik komuniti Rohingya atau warga asing.
“Begitu juga ketika rondaan dilakukan di sekitar bandar Kota Bharu pada Jumaat lalu, namun ada yang tampil membuat laporan polis kepada saya dan kumpulan sehingga kami ditahan,” katanya.
Pada masa sama, Abbe Hae turut mencadangkan supaya pemasangan sistem radar di Tumpat dipercepatkan sebagaimana yang diminta pihak berkuasa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Pada masa sama penduduk kampung juga perlu memainkan peranan penting dengan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya melihat kemasukan PATI dan sebagainya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Abbe Hae bersama 15 individu lain ditahan ketika tampil memberi keterangan di IPD Kota Bharu, Sabtu lalu.
Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan jam 12 tengah hari kelmarin.
Susulan kejadian itu, Polis Kelantan membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial serta isu berkaitan komuniti etnik Rohingya di negeri ini.
Dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




