Wanita maut kereta dirempuh treler langgar lampu isyarat merah

Wanita maut kereta dirempuh treler langgar lampu isyarat merah

am@hmetro.com.my

Machang: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya dirempuh sebuah treler di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Wakaf Bata, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.

“Treler berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit sebelum merempuh bahagian sisi kanan kereta Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah Padang Kelupang menuju ke Tanah Merah.

“Rempuhan kuat menyebabkan pemandu Perodua Axia parah dan disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian.

“Pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan cuai dan merbahaya.

“Pemandu treler turut ditahan mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 selepas polis merampas empat bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi cecair berwarna keperangan dan disyaki air ketum,” katanya.

Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165 atau hadir ke balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top