'Saya tak tamak kuasa'

'Saya tak tamak kuasa'

syafiq.aznan@bh.com.my

PUTRAJAYA: “Saya tak tamak kuasa dan mahu fokus sepenuhnya pada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).”

Atas dasar itulah, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuat kejutan apabila mengumumkan bakal melepaskan jawatannya sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang disandangnya sejak 2019.

Keputusan itu diumumkan selepas dia secara rasminya kekal menerajui FAM untuk penggal 2021-2025 dan mengakui mahu membalas kepercayaan yang diberikan ahli gabungan dengan memberi sepenuh tumpuan kepada badan induk itu.

“Saya ambil keputusan ini supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap banyak lagi kerja di FAM. MFL pun sudah stabil. Jadi saya akan lepaskan jawatan di MFL selepas melakukan penstrukturan dan mereka boleh memilih presiden baharu.

“Pada saya, elok dan manislah jika boleh dipisahkan tetapi masih lagi berada dalam aliran yang sama untuk bola sepak. Saya tahu keputusan ini akan membuatkan banyak pihak yang akan marah kepada saya tetapi ini adalah muktamad.

“Mesti ada ramai yang layak untuk menerajui MFL. Saya mahu fokus kepada FAM dan kalau saya mahu MFL, saya tinggalkan FAM. Saya tidak perlu tamak kuasa dan saya pun pernah lepaskan jawatan lain sebelum ini.

“Cukuplah dua tahun saya di MFL tetapi saya akan terus membantu MFL sebagai badan induk. Ini adalah keputusan yang tepat pada masa yang tepat,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-57 di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Hamidin menegaskan presiden baharu MFL itu perlulah dalam kalangan ‘orang luar’ dan bukannya dipilih daripada ‘anak buahnya’ yang sudahpun bersama badan induk itu.

“Saya tidak akan benarkan presiden MFL itu dipilih daripada kalangan EXCO walaupun kita memang ada wakil kita dalam lembaga pengarah MFL. Saya tidak mahu itu dan biarlah individu lain yang menerajuinya.

“Kita perlu bagi peluang kepada orang lain dan biarlah mereka yang memilih sendiri presiden baharu untuk organisasi itu nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top