am@hmetro.com.my
Mersing: “Kira-kira 11 pagi, ada orang datang ke rumah memberitahu anak saya dipijak gajah, saya terus ke lokasi (kejadian).
“Sebaik tiba di sana, saya terkilan… memang betul itu anak saya,” kata Yakob Md Yusof, 65, bapa kepada Mohamad Syafik, 31, yang meninggal dunia akibat dipijak gajah di Felda Tenggaroh 5 di sini, hari ini.
Dia berkata, ketika itu, anaknya yang juga tukang kebun di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Tenggaroh 5 itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat serangan gajah liar terbabit.
“Ketika menemuinya, arwah sempat membuka mata seketika sebelum memejamkan mata semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menceritakan kejadian itu, Yakob berkata, anaknya sedang bekerja dan diserang gajah itu ketika cuba menghalau haiwan terbabit di belakang sekolah.
“Ketika kejadian, anak saya dikejar gajah berkenaan sebelum dilambung ketika diserang.
“Sebenarnya mereka bertiga, seorang sempat lari menyelamatkan diri manakala seorang lagi parah akibat diserang gajah itu,” katanya.
Yakob berkata, kehadiran gajah liar di kampung itu bukan sesuatu yang baru malah pernah berlaku sebelum ini, namun haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk meskipun lalu di tepi rumah mereka.
“Saya reda dengan apa yang berlaku terhadap anak bongsu kami itu. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Islam Felda Tenggaroh Timur 1,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Tenggaroh Timur 1 Alias Atan berkata, isu gajah liar memasuki kampung itu memang diakui sudah lama berlaku, namun tidak disangka kali ini meragut nyawa penduduk.
“Boleh dikatakan gajah liar memang selalu main di sini (kawasan kampung) dan ini baru seekor, ada banyak lagi tetapi tidak mengganggu penduduk, biasanya yang menjadi mangsa pokok sawit dan tanaman.
“Kita memang pesan penduduk supaya jangan usik haiwan itu, bila berlaku kejadian seperti ini kita memang bimbang, lebih-lebih lagi berhampiran kawasan sekolah,” katanya yang turut berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.
Akibat serangan gajah itu, Mohamad Syafik yang parah di leher dan dada meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.
Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.
© New Straits Times Press (M) Bhd




